
Laporan/foto: Shamsul Bahari Abdul Shukor
GELUGOR, 21 Jan (Malaysiaaktif) – Pulau Pinang mencatat sejarah baharu apabila replika belanga ponggal terbesar berketinggian 17 kaki berjaya dihasilkan menggunakan kayu sekali gus diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Para tetamu jemputan bergambar kenangan.
Keunikan ini diserikan lagi dengan tradisi memasak ponggal (nasi manis) secara beramai-ramai menggunakan lebih 300 belanga dan perarakan 21 kereta lembu yang menjadi tarikan utama lebih 2,000 pengunjung ke program Pesta Ponggal MADANI dan Kebudayaan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Uban, kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban A. Kumaresan, berkata replika itu mengambil masa tiga hari itu untuk dihasilkan dan dihiasi 200 kilogram bunga segar.
“Pesta Ponggal bukanlah satu simbolik keagamaan sebaliknya ia disambut sebagai tanda kesyukuran terhadap hidupan dan alam semula jadi yang memberi rezeki dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui wartawan Malaysia Aktif.

Acara perarakan 21 buah kereta lembu turut mencuri tumpuan pengunjung.
Majlis berlangsung meriah dengan sambutan penuh warna-warni diserikan dengan pelbagai aktiviti kebudayaan, persembahan artis tempatan serta gerai pameran dan jualan, menjadikan program ini simbol perpaduan berbilang kaum dan keunikan budaya dalam semangat MADANI.
Detik bersejarah ini turut disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tuan Yang Terutama Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Hj Abdul Razak, yang diiringi Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid.
-ZS-