Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Sekolah Luar Bandar Mampu Melahirkan Golongan Cerdik Pandai, Tidak Perlu Dipandang Rendah

By 16 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 16 Jan (Malaysiaaktif) – Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Rambai yang terletak di kawasan luar bandar ini hanya mempunyai fasiliti dan kemudahan yang terhad, namun telah berjaya melahirkan 3 orang pelajar dengan keputusan cemerlang 8A dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) pada tahun ini.

Ucapan perasmian oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Perancangan, Haji Mohd Zaid Haji Mat Zain

Majlis Apresiasi dan Kecemerlangan Akademik, SK Kampung Rambai telah diadakan di sini semalam bagi meraikan 116 orang pelajar yang menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik, Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK), Anugerah Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAISK) serta Anugerah Sanjungan Budi.

Guru-guru, ahli jawatankuasa PIBG dan para waris yang turut hadir meraikan kejayaan pelajar SK Kampung Rambai

Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Perancangan, Pejabat Pendidikan Daerah Pendang, Haji Mohd Zaid Haji Mat Zain.

Beliau dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa di peringkat sekolah rendah, ibu bapa disarankan agar memberi lebih perhatian kepada anak-anak dan mewujudkan hubungan erat tetapi tegas mengikut kepada situasi dan masa yang sesuai.

“Apabila anak-anak semakin meningkat dewasa iaitu di antara umur 14 hingga 21 tahun pula, ibu bapa perlu menjadi seorang rakan kepada anak-anak agar dapat lebih memahami mereka kerana dalam tempoh ini terlalu banyak anasir luar yang akan mempengaruhi anak-anak jika tiada pegangan, jati diri, kekuatan sahsiah dan bimbingan daripada ibu bapa.

“Saya juga amat berharap agar penghargaan yang diberikan pada hari ini akan menjadi dorongan dan motivasi kepada para pelajar supaya dapat mencapai lebih banyak kecemerlangan dalam pelbagai bidang yang diceburi pada masa hadapan,” katanya.

Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampong Rambai, Haji Samat Salleh, 65, memaklumkan bahawa pihak PIBG sekolah ini sentiasa memberikan dorongan dan bantuan agar pelajar sekolah ini mendapat kejayaan dan melahirkan lebih ramai insan-insan yang berjaya.

“Kita akan sentiasa membantu anak-anak pelajar yang bersekolah di kawasan luar bandar ini agar dapat mencapai kejayaan dan bersaing dengan pelajar yang lain,” ujarnya.

Turut hadir bersama ke majlis tersebut adalah Guru Besar SK Kampung Rambai, Aziah Awanis Kamarudin, Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Kampong Rambai, Sharifah Jaafar, Guru- guru, Ahli Jawatankuasa PIBG dan waris-waris pelajar yang menerima anugerah.

-AA-

Tinggalkan komen anda