
Laporan/foto: Lina Shukri (Perak)/FB Saarani Mohamad
IPOH, 8 Feb (MalaysiaAktif) – Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak 2025 berlangsung dengan penuh warna-warni dihadiri kira-kira 17,000 tetamu di Stadium Indera Mulia, di sini pagi tadi.

Sultan Nazrin berkenan menggaul ‘yee sang’ sebagai simbolik sambutan perayaan
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan bercemar duli berangkat meraikan majlis.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri Datin Seri Aezer Zubin.
Saarani dalam ucapannya berkata, formula kemajuan sesebuah negeri dan negara tidak boleh terpisah dengan elemen perpaduan serta keharmonian.

Sekitar suasana kemeriahan sambutan dengan kehadiran pelbagai kaum
“Stadium Indera Mulia hari ini sekali lagi menjadi saksi kepada kerukunan warga Perak Darul Ridzuan yang berhimpun dalam suasana penuh kegembiraan bagi menyemarakkan Majlis Tahun Baharu Cina pada tahun ini.
“Begitu indahnya jalinan dan keakraban yang teranyam sehinggakan pada setiap sambutan perayaan, masyarakat berbilang kaum sama-sama bangga memancarkan semangat toleransi dan hormat menghormati,” katanya.
Sambutan anjuran Kerajaan Negeri Perak ini turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang mencerminkan keunikan budaya masyarakat Cina antaranya pertunjukan seni wushu, tarian singa dan naga serta persembahan seni menukar topeng muka.
Pada kemuncak majlis, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan menggaul ‘yee sang’ sebagai simbolik sambutan perayaan dan menyampaikan sumbangan angpau kepada 68 orang anak yatim dan miskin.
Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
-AA-