
Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Baling)
BALING, 4 Feb (MalaysiaAktif) – Keletah anak kambing jenis pigmi yang comel menarik perhatian pengunjung terutama kanak-kanak di The Wanz Animal Park, di sini.

The Wanz Animal Park antara tarikan pelancongan baharu di daerah Baling.
Taman haiwan bertemakan zoo haiwan jinak pertama yang dibuka di daerah Baling ini menawarkan pengalaman menarik buat pengunjung untuk bermain secara dekat.
Menurut pemilik The Wanz Animal Park Mohamad Ridzuan Mohd Roslan, 36, sempena pembukaan rasminya pada 29 Januari lalu sehingga kini, taman haiwan ini telah menarik kehadiran lebih 1,500 pengunjung dari pelbagai tempat termasuk dari luar negeri Kedah.
“Petting zoo (zoo haiwan jinak) ini mempamerkan lebih dari 25 spesies haiwan luar negara terutama dari Afrika dan Amerika Tengah serta Selatan.
“Antara yang haiwan yang menjadi tarikan utama ialah spesis agouti dan meerkat yang jinak dan dapat dipegang oleh pengunjung selain spesis reptilia unik yang turut dipamerkan” ujarnya.

Pengunjung teruja melihat spesis reptilia unik yang ada di sini.
Salah seorang pengunjung Khairi Salleh, 45, berkata anak-anaknya teruja untuk datang ke zoo tersebut kerana boleh bermain dengan haiwan yang jinak.
“Kami membeli food bucket dengan harga RM5 untuk diberi kepada haiwan yang dilepas bebas dalam zoo ini,” katanya.
The Wanz Animal Park menawarkan promosi tiket masuk sehingga 31 Mac ini pada harga RM15.00 untuk dewasa dan RM13.00 bagi pengunjung kanak-kanak.
-ZS-