
Laporan/foto: Rosnaniwati Rasidi/ Mahathir Mohd Kamal (Kota Belud)
KOTA BELUD, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Seawal pagi, suasana sekitar Dewan Serbaguna Taun Gusi 1 dimeriahkan dengan perarakan seramai 50 peserta berkhatan, yang turut disambut dengan paluan kompang oleh kumpulan pemuda.
Mohammad Aerfan Danieal Mohd Azizi, seorang bilal cilik berusia 11 tahun, mencuri perhatian apabila menjadi peserta pertama yang akan berkhatan.

Karisma Bilal cilik, Aerfan menjadi peserta pertama berkhatan menjadi pemangkin peserta yang lain.
Momen ini bukan sahaja bersejarah buat dirinya, malah menjadi inspirasi kepada rakan-rakan sebaya yang turut serta dalam Program Berkhatan Tertutup 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Taun Gusi 1, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk.
Aerfan telah menggalas tanggungjawab sebagai bilal di Surau Al-Ikhlas, Taun Gusi Keranjangan hampir dua tahun lalu dan pengalaman ini adalah titik penting dalam kehidupannya sebagai seorang Muslim.
“Berkhatan adalah satu kewajipan dalam Islam dan amat penting untuk menjaga kebersihan diri. Sebagai bilal, saya sudah terbiasa dengan tanggungjawab di surau. Ia membantu saya lebih bersedia serta yakin menghadapi saat ini.
“Saya juga berharap dapat memberi semangat dan mengurangkan gementar kepada rakan-rakan lain supaya tidak takut,” kongsinya ketika ditemui di Progam Berkhatan Tertutup 2025 di Dewan Serbaguna Taun Gusi 1 di sini pada Rabu.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, merangkap Pengerusi Sabah Softwoods Berhad, Datuk Mohd Arsad Bistari, yang berbesar hati menyempurnakan acara simbolik dengan menyemburkan air paip bomba kepada para peserta.

Sumbangan kain pelikat dan sebagainya disampaikan oleh Arsad.
Sebagai tanda sokongan kepada program ini, beliau turut menaja sepenuhnya kos perkhidmatan berkhatan bagi semua peserta, membolehkan mereka menjalani prosedur ini secara percuma dan menyumbangkan kain pelikat untuk setiap peserta.
-RJ-