
Laporan/foto: Azrul Azham/Pejabat FELDA Wilayah Jengka
JERANTUT, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 1,209 orang murid yang bakal melangkah ke Tahun Satu Sesi Persekolahan 2025 dalam Tanah Rancangan Wilayah Jengka menerima bantuan sebanyak RM120 seorang.

Haris Salleh Hamzah menyerahkan Bantuan Awal Persekolahan
Sumbangan itu disumbangkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Yayasan Felda dan FGV Holding Berhad dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.25 juta kepada murid Tahun Satu di 11 wilayah Felda di seluruh negara termasuk kawasan tanah rancangan di Sabah.

Penerima bantuan menerima satu set peralatan persekolahan berupa beg, baju, kasut dan beberapa peralatan lain
Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang Haris Salleh Hamzah, berkata Program Selamat Datang Ke Sekolah 2025 khusus untuk murid Tahun Satu dalam Wilayah Jengka menunjukkan keprihatinan FELDA terhadap generasi muda dalam pendidikan sebagai aset masa depan.
“Semua penerima bantuan daripada 37 sekolah rendah yang terletak di dalam Wilayah Jengka menerima satu set peralatan persekolahan seperti beg, baju, kasut dan beberapa alatan lain.
“Sumbangan itu antara usaha serta tanggungjawab sosial agensi tersebut mengutamakan pembangunan pendidikan khususnya melestarikan kebajikan ibu bapa dan penjaga murid generasi kedua di kawasan FELDA,” katanya sewaktu berucap di majlis penyampaian bantuan di Dewan Semai Bakti Felda Gelanggi Satu, di sini, semalam.
Ketua Peneroka Felda Jengka 24 Razak Daud, berkata sumbangan itu sebagai satu cenderamata pihak FELDA kepada anak generasi muda FELDA agar mendapat akses pendidikan dengan selesa dan tidak tercicir.
“Bantuan ini sebagai nilai tambah kepada Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 yang disalurkan oleh pihak kerajaan.
“Ia serba sedikit dapat meringankan beban anak generasi kedua atau ketiga dengan masing-masing dibekalkan peralatan persekolahan seterus menceria dan menyeronokkan mereka melangkah ke sekolah yang bakal dibuka pada 17 Februari ini,” ujarnya.
-AA-