
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Dengan sentuhan moden dan teknologi digital, jenama pakaian tempatan, Mahabbah berjaya mengangkat corak etnik Sabah ke peringkat arus perdana dengan keunikan motifnya tersendiri.

Afendih menunjukkan salah satu baju yang terdapat di butiknya ketika ditemu bual semalam.
Pengasasnya, Afendih Ambrih, 45, berkata, Mahabbah yang membawa maksud ‘kasih sayang’ bukan sekadar butik fesyen, tetapi platform untuk menarik minat generasi muda kepada corak etnik Sabah.
Menurutnya, sejak memulakan perniagaan pakaian ini tiga tahun lalu, permintaan terhadap pakaian batik bercorak etnik khasnya semakin meningkat dengan pelbagai pilihan mengikut citarasa pelanggan.
“Hidup mesti bijak memanfaatkan peluang dalam bidang yang kita minati. Sebab itu saya mahu memastikan motif etnik Sabah tidak hanya dikenali dalam komuniti sendiri, tetapi juga diterima dalam pelbagai majlis dan acara.

Awang sedang mengukur saiz salah seorang pelanggan Mahabbah.
“Jika kita ingin memartabatkan warisan, kita perlu menyesuaikannya dengan teknologi semasa. Sekarang semuanya digital, jadi batik etnik juga perlu bergerak seiring agar kekal di pasaran,” katanya ketika ditemui di butiknya di sini semalam.
Tambahnya, kreativiti yang dipamerkan melalui rekaan kontemporari dan tradisional salah satu usaha yang boleh dilaksanakan pereka pakaian tempatan untuk mempromosi warisan kebudayaan etnik tempatan.
“Saya percaya, generasi muda kini semakin menghargai seni dan warisan etnik. Melalui reka bentuk yang menggabungkan elemen tradisional dengan sentuhan moden, kami berjaya menarik minat mereka untuk terus menyokong dan mempopularkan corak etnik.
“Ini bukan hanya tentang menjual produk, tetapi juga tentang memartabatkan budaya kita dalam era digital yang serba moden,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan Dall Ricardo Philip, 29, berkata beliau memilih baju batik rekaan Mahabbah kerana corak dan kualiti yang ditawarkan boleh disesuaikan mengikut permintaan pelanggan.

Dall Ricardo bersama rakan sekerjanya mengunjungi butik Mahabbah untuk mengukur saiz baju.
“Harga juga berpatutan, dan setiap corak di sini direka khas untuk pelanggan. Ini menjadikannya lebih eksklusif kerana setiap rekaan hanya dibuat untuk seorang pelanggan dan tidak akan diulang.
“Saya suka konsep di Mahabbah kerana mereka mengekalkan elemen etnik tetapi dengan sentuhan moden. Ini memberi saya pilihan pakaian yang unik dan masih sesuai untuk dipakai dalam pelbagai acara rasmi dan santai,” tambahnya.
Selain butik, Mahabbah juga sedang memperluaskan usaha memperkenalkan motif etnik Sabah kepada umum, termasuk melalui hiasan dinding yang direka khas dengan paparan makna di sebalik setiap corak tradisional.
-RJ-