
Laporan/foto: Siti Aminah Abdullah/Amirulfarhan (Kinta)
BATU GAJAH, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Kanser Sedunia Peringkat Daerah Kinta 2025 bertempat di Auditorium Majlis Daerah Batu Gajah di sini semalam telah membuka mata dan kesedaran umum tentang realiti dan hakikat perjuangan pesakit kanser.

Pengasas Persatuan Ziarah Sahabat Kanser Zaki Yahya, berkongsi pengalaman dan perjuangan beliau menghadapi kanser.
Pengasas Persatuan Ziarah Sahabat Kanser Zaki Yahya, berkata beliau telah disahkan menghidap kanser pangkal hidung semenjak tahun 2017 lagi.
“Sejak mula mengasaskan persatuan ini, saya bergerak bersama aktivis kanser bagi membantu pesakit-pesakit kanser yang memerlukan sokongan selain turut memberi maklumat serta penerangan kepada masyarakat tentang jerih perih liku kehidupan yang ditempuhi pesakit kanser,” ujarnya yang mesra dengan panggilan Tok Abah.
Menurut Zaki Yahya, beliau telah berjaya melaksanakan misi kayuhan basikal secara solo di seluruh negara serta negara Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) baru-baru ini dengan membawa panji Jelajah Ziarah Sahabat Kanser.
“Usaha ini adalah tekad dalam membawa bersama-sama hasrat bagi menunaikan impian anak-anak penghidap kanser,” katanya.

Tok Abah bergambar bersama hadirin sempena Majlis Hari Kanser Sedunia Peringkat Daerah Kinta 2025.
Sambutan turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti dan program menarik antaranya pameran agensi kerajaan serta penyertaan daripada badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan Kanser Kebangsaan.
Program ini yang dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kinta Zulhisham Ahmad Shukori turut dihadiri kira-kira seramai 250 orang pengunjung.
-ZS-