
Laporan/foto: Matsukarmi Suani (Sarawak)
BALINGIAN, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Kelab Belia Progresif Pekan Balingian telah turut membantu mangsa banjir di sini dengan sebanyak lima buah keluarga dari Kampung Lintang dan Kampung Baru, Balingian telah mendapat bantuan sumbangan kecil mereka.

Mohd Helmi menyampai sumbangan kepada Nuri dari Kampung Lintang.
Tujuan sumbangan bakul makanan tersebut disampaikan untuk membantu meringankan beban keluarga mangsa banjir yang terjejas.
Menurut Pengerusi Kelab Progresif Pekan Balingian, Mohd Helmi Zamil, 31, mereka membantu keluarga terjejas banjir kerana rata-rata mangsa sukar untuk mencari pendapatan akibat daripada banjir besar yang melanda.
“Kami dari kelab belia berusaha membantu mereka (mangsa banjir) seadanya dengan menyampaikan bakul makanan kerana keluarga ini sukar mencari pendapatan sebab banjir,” katanya semalam.

Mohd Helmi (kiri) menyampai sumbangan kepada Atim Dunging.
Sementara itu, Atim Dunging, 63, yang juga salah seorang penerima dari Kampung Baru Balingian mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Kelab Belia Progresif Pekan Balingian kerana membantu.
“Syukur dan berbanyak terima kasih kepada Kelab Belia Progresif Pekan Balingian kerana membantu sedikit sebanyak dalam waktu sukar ini dan dapat meringankan beban yang dialami lebih-lebih lagi musim banjir menyukarkan pergerakan untuk bekerja,” ujarnya.
Menurut Mohd Helmi lagi, mereka cuba semampu yang boleh untuk meringankan beban dan memberi sokongan moral kepada mereka.
Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada rakan belia lain bersama membantu mengharung banjir di Kampung Lintang dan Kampung Baru, Balingian bagi menjayakan misi mereka.
-RJ-