Laporan/foto:Hendry Nurdin/ Mahader Lahairie (Lahad Datu)
LAHAD DATU, 04 Feb (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan operasi yang lebih terancang serta kerjasama yang baik antara pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lahad Datu membantu memantapkan pengurusan mangsa banjir di daerah ini.
Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen@Benetty Mohd Dzul berkata, semua agensi yang terlibat telah memainkan peranan penting dalam memastikan operasi pemindahan dan pengurusan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berjalan dengan lancar dan teratur.

Firuz turut bersama turun padang menyertai operasi menyelamatkan dan memindahkan mangsa di kawasan terjejas.
“Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi terutamanya pihak anggota keselamatan, pasukan penyelamat, badan kebajikan, serta sukarelawan yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir sejak PPS dibuka hinggalah ia di tutup.
“Kita bukan sahaja memberi perhatian kepada keperluan asas, tetapi juga aspek kesejahteraan mental dan emosi mangsa. Oleh itu, aktiviti santai seperti senam robik dan tayangan filem secara terbuka telah diadakan bagi menghiburkan mereka, terutama kanak-kanak,” katanya selepas penutupan rasmi PPS di Kolej Vokasional Pertanian (AVTC) di sini pada Ahad.
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Lahad Datu, beliau menegaskan operasi yang dilaksanakan semasa bencana akan ditambah baik untuk keberkesanan pada masa akan datang.
“Kami tetap komited untuk mengatasi kelemahan ini dengan segera dan menjadikannya sebagai panduan untuk memastikan kesiapsiagaan yang lebih baik dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana di masa hadapan,”ujarnya.

Shairol (kiri) menyaksikan pengerusi bencana menandatangani borang pengisytiharan penutupan semua pusat pemindahan.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Daerah, Shairol Sari memberitahu, keperluan setiap mangsa banjir melibatkan warga emas, wanita hamil, dan kanak-kanak diberi perhatian khusus.
“Kami sedaya upaya memastikan tiada mangsa yang terpinggir atau terabai di mana segala keperluan mereka ditangani dengan segera, dan jika terdapat sebarang kekurangan, kami akan mengambil tindakan pantas untuk memperbaikinya, apa yang penting, setiap mangsa mendapat bantuan sewajarnya dan berasa selamat sepanjang berada di PPS,” jelasnya.
Berkongsi pengalaman sepanjang di PPS, mangsa banjir Mohd Naslan, 32, percaya pihak berkuasa telah melaksanakan perkhidmatan yang terbaik bagi memenuhi keperluan semua penghuni PPS dari setiap peringkat umur.

Mohd Naslan selepas menerima bakul bantuan sebelum meninggalkan PPS kemarin.
“Saya bersyukur kerana bantuan makanan dan tempat tinggal disediakan dan diurus dengan baik. Ini membantu saya dan keluarga mengurangkan sedikit rasa beban yang ada dalam fikiran kami,” katanya.
Untuk rekod, kejadian banjir di Lahad Datu telah mengakibatkan sepuluh buah kampung terjejas teruk dengan anggaran seramai 540 mangsa telah dipindahkan ke tiga buah PPS yang mula beroperasi sejak 29 Januari 2025.
-RJ-