
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/LUAS
SHAH ALAM, 4 Feb (MalaysiaAktif) – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah membuka kertas siasatan di bawah Enakmen LUAS 1999 bagi tindakan lanjut penguatkuasaan susulan kemalangan membabitkan sebuah lori di Sungai Bernam, kelmarin.

Pihak LUAS berjaya menarik keluar lori yang terbabas ke dalam Sungai Bernam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor Jamaliah Jamaluddin, berkata lori yang belum dikenal pasti pemiliknya disyaki terbabas masuk ke dalam Sungai Bernam menyebabkan tumpahan minyak sepanjang 100 meter aliran ke dalam sungai berkenaan.
“Kesan tumpahan tersebut turut menjejaskan bekalan air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selisik bermula pada jam 1.00 petang sehingga jam 5.30 petang semalam.
“LUAS telah segera mengaktifkan pemantauan statik di LRA Bernam River Headwork (BRH) dan melaksanakan tindakan pencegahan awal dengan meletakkan ‘oil boom’ di muka sauk itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kakitangan LUAS terus memantau keadaan Sungai Bernam berikutan kejadian tumpahan minyak akibat insiden lori terbabas.
Menurutnya, LUAS juga telah memantau rapi kerja pengalihan kenderaan tersebut dan pembaikan tebing sungai terlibat yang selesai sepenuhnya lewat petang semalam.
Kelmarin, sekitar pukul 1.00 petang dilaporkan terdapat satu insiden kemalangan membabitkan sebuah lori di Sungai Bernam, Kampung Serigala, Behrang.
-ZS-