
Laporan/foto: Faridah Hanim Abdul Ghani/Mohd Ridhuan Samuel (Seberang Perai Utara)
BUMBUNG LIMA, 4 Feb (MalaysiaAktif) – Kelegaan jelas terpancar di wajah 131 pesawah yang menerima Tabung Bantuan Bencana Tanaman, yang diserahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang Fahmi Zainol, di sini semalam.
Tabung ini bertujuan membantu meringankan beban pesawah yang terjejas akibat cuaca ekstrem dan banjir yang melanda baru-baru ini.

Fahmi menyerahkan cek cura kepada salah seorang wakil pesawah.
Kesemua penerima merupakan pesawah di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Barat Daya.
Menurut Zakaria Awang, 60, yang mewakili pesawah dalam DUN Penaga, cuaca buruk yang disertai angin kencang menyebabkan tanaman padi rebah dan tidak dapat dituai.
“Sejak saya mula mengusahakan sawah pada tahun 1990 kejadian seperti ini jarang berlaku dan sebagai pesawah kami perlu menerima keadaan ini dengan hati terbuka.
“Alhamdulillah, bantuan ini sedikit sebanyak mengurangkan beban kami,” katanya.
Sementara itu, Abdul Aziz Mohamad, 49, seorang pesawah dari DUN Sungai Dua, berkongsi bahawa banjir pada September tahun lalu menyebabkan padi yang sudah masak tidak dapat dituai kerana tenggelam sepenuhnya.
“Kami hanya mampu melihat hasil titik peluh musnah dalam sekelip mata pada ketika itu.

Abdul Aziz bersama cek cura yang mewakili 30 penerima dalam DUN Sungai Dua.
“Hampir 30 pesawah dari Kampung Lahar Yooi, Nyior Sebatang, Lubuk Meriam, Sungai Dua serta Padang Tong turut mengalami nasib yang sama dan bantuan ini sangat bermakna bagi kami untuk bangkit semula,” ujarnya.
Fahmi Zainol dalam ucapannya memakluman Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat prihatin dengan kebajikan petani dan komited dalam menyediakan pelbagai latihan dan insentif kepada pesawah bagi memartabatkan sektor petanian terutamanya padi di Pulau Pinang.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pesawah Pulau Pinang atas kejayaan mereka sebagai pengeluar padi tertinggi per hektar selama enam tahun berturut-turut sejak 2019.
-ZS-