Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Menjana Pendapatan Bermula Dari Hobi

By 6 Februari 2025Februari 13th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Jane Chua Choo Kim (Sarawak)

SARATOK, 6 Feb (MalaysiaAktif): Seorang wanita kaum Iban, Megaline Duah Melina, 56 tahun yang berasal dari Dabai Baruh, Roban, di sini mengisi masa lapang dengan menghasilkan seni anyaman yang menggunakan tali plastik.

Sejak kecil, Megaline telah didedahkan dengan seni anyaman kaum Iban oleh ibunya dan latihan secara berterusan membolehkan Megaline menguasai pelbagai teknik anyaman dan reka bentuk yang lebih kreatif.

“Setiap produk dianyam dengan teliti bagi membentuk pelbagai produk seperti bakul, tikar, beg tangan, dan hiasan rumah.

“Setiap hasil tangan bukan sekadar produk, tetapi lambang kesabaran, ketelitian, dan keindahan budaya tradisi Sarawak yang harus dipertahankan,” katanya semalam.

Perjalanan Megaline dalam dunia kraftangan bukanlah sesuatu yang mudah dengan beliau menghadapi kesukaran dalam mendapatkan modal untuk membeli tali plastik yang digunakan dalam beberapa jenis anyaman moden.

Peralatan dan bahan untuk menghasilkan produk anyaman termasuk tali plastik.

Katanya, kos tali plastik yang tinggi menjadi cabaran besar, namun beliau tetap berusaha mengatasinya dengan mencari pembekal yang menawarkan harga yang lebih berpatutan.

Tambahnya, beliau memilih untuk menggunakan tali plastik kerana ia lebih mudah didapatkan dan hadir dalam pelbagai warna, serta membolehkannya mencipta rekaan yang lebih moden dan menarik.

Kini, Megaline turut memperluaskan jualannya ke pasaran tempatan serta mula menggunakan platform media sosial untuk membolehkan pelanggan dari pelbagai lokasi mendapatkan hasil kraftangannya secara mudah.

Beliau mengakui, hasil anyaman tersebut mampu menjana pendapatan jika ia diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Hasil produk anyaman Mageline yang diperbuat daripada tali plastik.

“Setiap kejayaan bermula dengan langkah pertama yang berani dan keyakinan dan usaha yang konsisten adalah kunci utama dalam membangunkan sesuatu perniagaan.

“Setiap kegagalan adalah satu pelajaran dan tiada usaha yang sia-sia jika dilakukan dengan penuh kesungguhan,” katanya.

Kini, dengan semangat gigih dan kecekalan, Megaline membuktikan bahawa hobi yang dilakukan dengan penuh minat mampu berkembang menjadi sumber pendapatan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda