
Lapoiran/foto: Zaidy Salim/Rahman Ishak
PUTRAJAYA, 6 Feb (MalaysiaAktif) – Karnival Wilayah Persekutuan dan Hari Terbuka Putrajaya 2025 (POD2025) membuka tirainya hari ini bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2025 dengan pelbagai pengisian dan informasi.
Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Feb setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan dan tahun ini merupakan sambutan kali ke-21 sejak diperkenalkan pada 2004.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, berkata program selama empat hari itu merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam membawa perkhidmatan terus kepada rakyat.
“Saya yakin ini akan memberi impak yang besar kepada rakyat.
“Penganjuran POD pada dua tahun terakhir telah berjaya menjana pulangan pelaburan (ROI) yang memberangsangkan dengan kutipan keseluruhan mencecah RM15 juta,” katanya.
Menurutnya lagi, seramai 100,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang program dengan lebih 450 vendor dan pempamer mengambil bahagian.

Daniel dan keluarganya memanfaatkan cuti sekolah anak-anaknya di Karnival Wilayah Persekutuan dan POD2025.
Seorang pengunjung, penjawat awam Daniel, 44, dari Putrajaya mengambil cuti pada hari ini semata-mata untuk membawa isteri dan tiga orang anak-anaknya ke karnival ini.
“Saya sebenarnya nak explore (meneroka) apa lagi yang ditawarkan, perkhidmatan yang mungkin kita boleh ambil peluang.
“Banyak info-info yang menarik dan juga untuk anak-anak, dia boleh tambah pengetahuan,” katanya.
Pelajar Lili Zaini, 22, hadir seorang diri ke POD2025 dari Teluk Panglima Garang setelah mengetahui terdapat pelbagai aktiviti serta penyertaan vendor-vendor yang menarik.
“Saya ada melawat (reruai) Kementerian Pelancongan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan banyak lagi.
“Jangan lupa datang ke Perbadanan Putrajaya sempena Putrajaya Open Day sebab di sini ada vendor-vendor dan aktiviti yang menarik, korang boleh juga melawat booth-booth (reruai) pameran kerjaya yang ada di sini,” katanya.

Lili Zaini mengajak orang ramai untuk ke Karnival Wilayah Persekutuan dan POD2025 yang bermula hari ini sehingga Ahad ini.
-ZS-