
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip / Mohd Maqdi Salleh (Tawau)
TAWAU, 06 Feb (MalaysiaAktif) – Pasangan adik-beradik dari Semporna mencatatkan kejayaan cemerlang dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Perbandaran Tawau 1446H/2025M dengan merangkul gelaran johan qari dan qariah.
Johan qari Abdullah Abdul Wahid, 46, yang juga seorang guru di SK Tg Kapur menyifatkan kejayaannya merupakan langkah pertama bagi beliau untuk mempersembahkan teknik bacaan terbaik di peringkat negeri.

Johan qari, Abdul wahid, MHTQ Peringkat Bahagian Tawau.
“Saya akan terus memperbaiki teknik bacaan dan persiapan diri secara mental dan rohani,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran (MTHQ) Peringkat Perbandaran Tawau 1446H/2025M di sini pada Rabu.
Sementara itu, adiknya Norasmah Abdul Wahid, 20, johan qariah, pelajar di Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) berkata, kemenangannya itu sebagai hadiah kepada keluarga dan guru-gurunya yang sentiasa memberi sokongan.

Johan qariah, Norasmah, MHTQ Peringkat Bahagian Tawau.
“Kemenangan ini adalah tanda penghargaan kepada keluarga dan guru-guru yang sentiasa berada di sisi, memberi sokongan dan motivasi. Mereka adalah pendorong utama dalam usaha saya ini,” ujarnya.
Terdahulu, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menekankan kepentingan umat Islam untuk terus menghayati dan mempertingkatkan usaha berinteraksi dengan al-Quran.
“Usaha untuk menghidupkan syiar al-Quran adalah tanggungjawab kita bersama.
Saya menyeru semua pihak, terutamanya jawatankuasa masjid, untuk mengambil inisiatif mengadakan kelas mengaji dan menghafaz, serta bekerjasama dengan madrasah dan pusat tahfiz bagi melahirkan qari dan qariah yang berkualiti.
“Jangan lupa untuk mendaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) supaya dapat menerima bantuan yang sewajarnya,” katanya ketika merasmikan MHTQ tersebut.

Nizam menekankan umat Islam untuk terus menghayati dan mempertingkatkan usaha dalam berinteraksi dengan al-Quran.
Untuk makluman pasangan adik beradik tersebut akan mewakili Tawau ke MTHQ Peringkat Negeri yang akan diadakan di Dewan Sa’adah Kota Kinabalu, Sabah bermula 13 hingga 16 Februari 2025.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamil Awang dan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau Mohd Soffian Said.
-RJ-