
Laporan/foto: Florinah Lunsin (Kudat)
KUDAT, 13 Feb (MalaysiaAktif) – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kudat akan menganjurkan lima kursus kemahiran dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk GIATMARA sebagai usaha untuk meningkatkan kemahiran komuniti setempat.
Kursus yang akan dilaksanakan merangkumi kemahiran asas yang boleh dijadikan sumber pendapatan sampingan komuniti terlibat iaitu Mahir Masak, Fotografi, Baiki Gajet, Jahitan dan Pertanian Secara Moden.
Pengurus NADI Kudat Toni S. Modorusun, 46, berkata kursus-kursus yang dianjurkan akan diadakan secara telesidang dan berpusat di NADI terletak di Pekan Kudat, Taman Eshan serta Pekan Matunggong.

Toni (tengah), Pegawai Penerangan Daerah, Nadia M. Lawaji (lima dari kanan) bersama anggota Pejabat Penerangan Daerah Kudat dan ahli Komuniti MADANI.
“Saya berharap dengan adanya kerjasama antara NADI dan pihak-pihak seperti Parahebat dan GIATMARA, kursus-kursus ini akan memberi manfaat besar kepada komuniti, meningkatkankemahiran individu, serta membuka lebih banyak peluang untuk memperbaiki pendapatan dan kesejahteraan mereka,” katanya.
Menurutnya, peserta kursus akan menerima sijil pengiktirafan mengikut kemahiran yang disertai.
“Lebih menarik lagi, bagi peserta yang menunjukkan kemahiran luar biasa seperti dalam kursus Mahir Jahit, mereka berpeluang untuk dipilih untuk mewakili komuniti semasa persidangan NADI.
“Semasa persidangan itu nanti, peserta yang terpilih akan memperagakan hasil karya mereka namun hanya seorang peserta sahaja daripada setiap negeri yang akan dipilih untuk mewakili komuniti,” katanya ketika ditemui semasa sesi taklimat di NADI Kudat di sini pada Rabu.
Untuk makluman taklimat tersebut diadakan bagi memaklumkan program yang akan dianjurkan oleh pihak NADI Kudat untuk tahun ini dengan kehadiran komuniti MADANI Alpha, Bestari dan Era Madani, serta pegawai Jabatan Penerangan Daerah Kudat.
-RJ-