Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Pekan Pauh Pesat Membangun dengan Pelbagai Kemudahan Baharu

By 8 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Wan Muhamad Zikri/Anuar Che Amat

PAUH, 8 Feb (MalaysiaAktif) – Pekan Pauh di Arau, Perlis kini mengalami perubahan pesat dengan pembangunan infrastruktur dan ekonomi yang jauh lebih maju berbanding sedekad lalu. Dulu dikenali sebagai sebuah pekan kecil yang sederhana, kini ia menjadi pusat tumpuan dengan pelbagai kemudahan moden yang menarik lebih ramai penduduk dan pelabur.

Hotel baharu yang dibina di Pauh memudahkan pengunjung mendapatkan penginapan yang selesa pada kedudukan yang strategik

Antara perubahan ketara ialah peningkatan jumlah kedai dan pusat perniagaan yang semakin berkembang.

Pekan Pauh yang popular dengan Pasar Sehari Pokok Getah atau Nat Pokok Getah kini telah banyak premis baharu seperti pembukaan beberapa buah pasaraya dan kedai-kedai serbaneka memberikan lebih banyak pilihan kepada penduduk setempat untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang berpatutan di samping kedai-kedai runcit sedia ada.

Klinik Kesihatan Pauh antara fasiliti baharu yang disediakan

Selain dari kemudahan bank dan stesyen minyak, Klinik Kesihatan Pauh yang baharu dibina juga dilengkapi dengan kemudahan yang canggih serta selesa untuk penduduk setempat mendapatkan rawatan kesihatan.

Dari segi infrastruktur, kerajaan negeri dan pihak syarikat pembinaan telah membangunkan projek perumahan baharu untuk menampung peningkatan populasi, menarik lebih ramai keluarga muda untuk menetap di kawasan ini.

Sektor perhotelan juga menunjukkan perkembangan positif dengan pembukaan Hotel Vilana, yang menyediakan penginapan selesa kepada pelancong dan mereka yang berkunjung atas urusan kerja.

Selain itu, kemudahan homestay semakin bertambah di sekitar Pekan Pauh, membolehkan pengunjung memilih penginapan yang lebih fleksibel dan mesra keluarga.

Seorang peniaga warung, Baharudin Hussin,67, turut berkongsi pandangannya mengenai perubahan ini.

Menurutnya, sejak bertambahnya pusat-pusat perniagaan di kawasan tersebut, perniagaannya semakin maju.

“Sekarang lebih ramai orang bekerja di sini, jadi pelanggan saya pun semakin ramai. Ramai pekerja datang membeli makanan dan minuman di warung saya, terutama waktu pagi dan tengah hari,” katanya dengan penuh kesyukuran.

Pekan Pauh dijangka akan terus membangun dan berkembang pesat serta berpotensi menjadi salah satu pusat ekonomi penting di Perlis.

Kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri, pelabur dan penduduk setempat diharapkan dapat memastikan pertumbuhan ini berterusan, sekaligus menjadikan pekan ini sebagai lokasi yang lebih maju dan makmur dalam tahun-tahun mendatang.

-AA-

Tinggalkan komen anda