
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Nurul Farrah Sallehuddin (Tawau)
TAWAU, 08 Feb (MalaysiaAktif) – Program Ziarah Kasih Komuniti Madani mengukir sedikit senyuman di wajah warga emas, Dara Modeali, 76, untuk cekal meneruskan hidup biarpun menghidap strok.
Beliau yang menetap bersama keluarga, mengungkapkan rasa terharu atas kunjungan dan kepedulian Komuniti Madani Tanjung Batu Darat itu terutama kepada golongan rentan sepertinya.

Kunjungan Ziarah Kasih di kediaman pesakit strok, Dara Modeali, di Kampung Tanjung Batu Dara, Tawau semalam.
Katanya, bantuan bakul yang dihulurkan juga setidaknya dapat membantu mengurangkan beban keluarga untuk memenuhi keperluan harian mereka.
“Sumbangan ini sangat membantu saya dalam menyediakan kelengkapan kehidupan sehari-hari, terima kasih kepada Komuniti MADANI dan Pejabat Penerangan Daerah Tawau atas keprihatinan ini.
“Dengan keadaan kesihatannya yang semakin memburuk, saya mengakui bantuan berbentuk bakul makanan ini amat bermakna dan sangat membantu dalam memenuhi keperluan harian saya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Komuniti Madani, Sabturani Abdul Rah berkata, Kunjungan Ziarah Kasih ini salah satu inisiatif untuk meringankan beban golongan yang memerlukan terutama warga emas.
“Ada warga emas ini yang hidup dalam kesusahan yang terpaksa bergantung sepenuhnya kepada orang lain akibat penyakit yang dihadapi.
“Hari ini, kita mengadakan kunjungan ziarah kasih di Kampung Tanjung Batu Darat, ke rumah seorang warga emas yang sedang uzur bertujuan untuk memberi sokongan moral serta menyampaikan sumbangan kepada warga emas yang kurang bernasib baik.
“Semoga sumbangan dan bantuan ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung oleh penerima, kita juga berdoa agar Allah memberkati segala usaha kita semua, dan semoga kita semua diberikan kebaikan di dunia dan akhirat,” ujarnya selepas menyampaikan bantuan bakul makanan kepada Dara di kediamannya di sini semalam.
Program kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Tawau ini turut dihadiri Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Azuary Abdul Azis.
-RJ-