
Laporan/foto: Dhaifanzufar Dazuka /Hazlina Hj Tajuddin (Gombak)
GOMBAK, 8 Feb (MalaysiaAktif) – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Tua, Selayang Baru di sini, hari ini.
NADI merupakan salah satu inisiatif kerajaan persekutuan untuk mengurangkan jurang digitalisasi di kalangan rakyat dalam negara.

Amirudin berucap merasmikan NADI Sungai Tua, Gombak
“Kewujudan NADI bukan hanya menyediakan internet, tetapi turut juga menjadi alat komunikasi atau kemudahan digitalisasi ke arah yang lebih baik.
“Program keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, program kesedaran dan inisiatif kerajaan merupakan lima elemen yang akan diperkenalkan dan diperkemaskan di pusat-pusat NADI seluruh negara,” ujarnya semasa ucapan perasmian.

Amirudin melawat kemudahan komputer NADI yang disediakan percuma kepada para pengunjung
Turut hadir Ketua Pegawai Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bukhari Yahya dan Pegawai Daerah Gombak, Nor Azlina Abdul Aziz.
Jelas Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak, NADI Sungai Tua, ini adalah NADI ke-76 beroperasi di Selangor.
“Menjelang akhir Ramadan nanti, lapan lagi pusat NADI dijangka siap yang bakal menjadikan 84 buah NADI di seluruh negeri ini,” katanya.
Orang ramai boleh menggunakan khidmat NADI Sungai Tua yang bertempat di alamat PT5, No 1A, Jalan 18 Selayang Baru yang beroperasi bermula pukul 9 pagi sehingga 6 petang setiap hari kecuali cuti umum.
-AA-