
Laporan/foto: Husney Hamid/Senaying Ahud (Hulu Perak)
GERIK, 23 Mac (MalaysiaAktif) – Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Berbuka Puasa Daerah Hulu Perak di Masjid Jamek Gerik, Kampung Bendang Kerajaan, di sini kelmarin.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Majlis ini telah menjadi acara tahunan setiap kali tibanya bulan Ramadan.

Antara penduduk setempat dan para jemaah yang hadir
Seusai berbuka puasa, Raja Iskandar turut berkenan menunaikan solat Isyak, solat sunat tarawih dan moreh bersama penduduk setempat serta para jemaah yang hadir.
Sementara itu, Firdaus Ihsan Omar, 31, meluahkan rasa teruja dapat meluangkan masa hadir ke program tersebut.
“Program ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara institusi diraja, pemimpin dan rakyat.
“Semoga jalinan silaturahim ini terus terpatri dan bulan Ramadan yang mulia memberi rahmat serta keberkatan kepada semua muslimin dan muslimat,” katanya yang berasal dari Ipoh.
Firdaus turut memuji hidangan berbuka puasa yang disediakan terutamanya kari daging umbut/rias pisang yang merupakan menu wajib bagi penduduk sekitar Gerik apabila kenduri-kendara atau majlis.
-AA-