
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 13 Jul (MalaysiaAktif) – Bangkai helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di perairan Sungai Pulai, Gelang Patah pada Khamis lalu dijangka akan dibawa naik ke darat dalam tempoh terdekat, sama ada esok atau lusa.

Noor Sham (kiri) tiba di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru hari ini bagi melawat anggota lima kru helikopter yang masih lagi mendapatkan rawatan
Komander Pasukan Gerakan Udara (PGU) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Noor Sham Md Jani, berkata operasi mengangkat bangkai helikopter tersebut akan dilaksanakan dengan kerjasama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Setelah bangkai berjaya dinaikkan, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) akan memulakan siasatan lebih terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya ketika ditemui selepas melawat lima kru helikopter yang dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.

Noor Sham (tengah) meluangkan masa dan bertanya khabar dengan Koperal Mohd Helmie Huzaire Sabli, suami kepada Koperal Adeline Liu, salah seorang lima kru yang terbabit dalam nahas helikopter berkenaan
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa kotak rakaman suara (voice recorder) helikopter tersebut masih berada dalam badan pesawat dan akan diambil sebaik sahaja bangkai dibawa naik ke permukaan.
“Kotak rakaman suara ini adalah peralatan penting yang merakam komunikasi antara kru pesawat dan pasukan di darat ketika operasi dijalankan. Rakaman tersebut akan dianalisis dengan teliti bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Terdahulu, helikopter milik PDRM itu terhempas berhampiran Jeti Maritim Malaysia Negeri Johor semasa melakukan lintas hormat sebagai sebahagian daripada demonstrasi sempena Latih Amal Pelbagai Hala Pengesanan Sekuriti Nuklear Malaysia-Indonesia-Thailand-Singapura 2025 (MITSATOM 2025) di Gelang Patah, Iskandar Puteri.
-AA-





