Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanKedah

Fiesta Rakan Muda Peringkat Daerah Pendang Serlahkan Kreativiti, Bakat Belia

By 16 Julai 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Azian Saad/Armizie Hanazifs (Pendang)

PENDANG, 16 Jul (MalaysiaAktif) – Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pendang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Pendang telah menganjurkan program Fiesta Rakan Muda yang berlangsung semalam di Pusat Kokurikulum Daerah, Felda Sungai Tiang.

Majlis disempurnakan Penolong Pegawai Daerah (Pengurusan Daerah) Mohd Zhafri Datuk Mohd Zohdi yang turut merancakkan lagi suasana dan membangkitkan semangat dalam kalangan para belia yang hadir.

Para peserta mengikuti sesi taklimat sembang santai sementara menunggu giliran untuk beraksi merebut gelaran juara kawad kaki.

Objektif utama penganjuran program ini adalah bagi mewujudkan platform ekspresi kreatif bagi golongan belia di mana mereka diberi ruang dan peluang untuk menyerlahkan potensi diri dalam bidang seni, keusahawanan serta pelbagai aktiviti berasaskan inovasi selari dengan sepuluh gaya hidup Rakan Muda yang menjadi tunjang kepada pembangunan sahsiah dan bakat generasi muda.

Program seperti ini amat digalakkan kerana mampu menyemai disiplin dan nilai-nilai positif dalam kalangan belia kerana ia juga berperanan sebagai wadah penting dalam membentuk semangat berpasukan, serta mengukuhkan kekuatan fizikal dan mental para peserta.

Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Pendang (Bakat Murid) Muhammad Syazwan Anas Musa ketika ditemui, berkata penganjuran Fiesta Rakan Muda ini bertujuan untuk menarik minat belia terhadap kegiatan sukan dan aktiviti lasak di samping memperkasa minat dalam bidang kesenian melalui persembahan seni dan penyertaan dalam bengkel-bengkel kemahiran.

“Para peserta yang menyertai program ini bukan sahaja dapat menghargai nilai budaya dan kreativiti diri malah turut membina sifat berdaya saing dalam diri mereka,” ujarnya.

Program yang telah mendapat sambutan mengalakkan dengan kehadiran lebih 500 orang peserta dan pengunjung semalam menampilkan pelbagai aktiviti interaktif seperti pertandingan kawad kaki, pertandingan inovasi kitar semula, cabaran doodle art (seni coret), pameran hasil karya dan gerai jualan.

Para peserta membuat latihan sebelum pertandingan bermula.

Pusat Kokurikulum Daerah Pendang digamatkan dengan acara utama iaitu pertandingan kawad yang berlangsung dengan penuh semangat dan disiplin melibatkan 16 buah pasukan yang terdiri daripada sekolah dan menengah sekitar daerah Pendang.

Menurut Pegawai Belia dan Sukan Daerah Pendang Nor Azlan Zainal, Program Rakan Muda di bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan ini menyasarkan golongan belia berumur antara 15 hingga 30 tahun di mana ia menyediakan pelbagai platform bermakna seperti program kesukanan, kebudayaan, inovasi dan keusahawanan.

“Bagi daerah Pendang, fiesta ini menjadi perintis penting dalam mendokong aspirasi belia tempatan agar terus aktif dan kreatif,” ujarnya.

Penganjuran program seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat kepimpinan dan kerjasama dalam kalangan peserta malah turut membentuk keyakinan diri melalui pendedahan kepada pentas kreatif di samping membentuk disiplin dan tanggungjawab dalam aktiviti berkumpulan, hormat-menghormati serta semangat kerjasama.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid (Sektor Pembangunan Murid), Jabatan Pendidikan Negeri Kedah Zakaria Mad Saad dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pembangunan Murid) Pejabat Pendidikan Daerah Pendang Ahmad Zamberi Ahmad.

-RI

Tinggalkan komen anda