Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Kelab Malaysiaku SMK Putra Didedahkan dengan Kempen Internet Selamat

By 16 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini/Anuar Che Amat

KANGAR, 16 Jul (MalaysiaAktif) – Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Perlis kini diperluas kepada pelajar sekolah bagi meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan dalam talian.

Pegawai (MCMC) ketika memberikan taklimat.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra yang terletak di Jalan Padang Katong, di sini hari ini menjadi antara sekolah terpilih di Perlis yang melaksanakan kempen berkenaan.

Program bertujuan memberi pendedahan tentang kepentingan melindungi kanak-kanak dan remaja daripada salah guna internet serta ancaman siber yang semakin membimbangkan.

Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku SMK Putra Normila Ramli berkata pendedahan kepada ahli kelab dibuat melalui modul interaktif seperti video, slaid taklimat dan infografik yang merangkumi pelbagai tip keselamatan dalam talian.

“Kita tidak nafikan dunia teknologi dan maklumat kini banyak memberikan manfaat, namun anak-anak remaja juga perlu diberi kesedaran tentang risiko-risiko yang boleh memberi kesan negatif kepada diri mereka, keluarga mahupun sekolah,” ujarnya.

Pelajar diberi pendedahan tentang Kempen Internet Selamat.

Beliau turut menekankan bahawa pendekatan bersemuka lebih berkesan dalam memberi pemahaman yang jelas dan fokus kepada pelajar, berbanding hanya bergantung kepada maklumat dalam talian.

Taklimat KIS tersebut telah disampaikan Penolong Pengarah MCMC Negeri Perlis Nurul Elani Rashid.

“Sebagai seorang pendidik, saya amat berharap program ini dapat diperluaskan ke semua sekolah di negeri ini agar lebih ramai pelajar mendapat manfaatnya,” katanya.

Dalam program yang sama, pelajar berpeluang mendengar perkongsian daripada Penyelaras Kelab Malaysiaku Negeri Perlis Norazila Mat Zin melalui sesi JIWA@Kelab Malaysiaku.

-RI

Tinggalkan komen anda