Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

JKDM Johor Gagalkan Pengedaran 3.8kg Ganja Melalui Poslaju Dan Laut

By 16 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zahid Othman/JKDM Johor

JOHOR BAHRU, 16 Jul (MalaysiaAktif) – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya mematahkan dua cubaan pengedaran dadah dalam dua operasi berasingan melibatkan rampasan ganja seberat 3.83 kilogram (kg) dengan nilai keseluruhan melebihi RM120,000, baru-baru ini.

Pengarahnya Aminul Izmeer Mohd Sohaimi berkata kejayaan tersebut hasil tindakan pantas dan risikan teliti pegawai penguat kuasa terhadap sindiket yang menggunakan perkhidmatan kurier serta laluan air tidak sah.

JKDM Johor berjaya mematahkan dua cubaan pengedaran dadah dalam operasi berasingan, dengan rampasan ganja seberat 3.825 kilogram bernilai lebih RM120,000.

Dalam operasi pertama pada 21 Mei sekitar pukul 5 petang, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Cawangan Narkotik Johor menahan seorang lelaki di kawasan Pekan Nenas, Pontian selepas pemeriksaan terhadap dua bungkusan pos laju menemui dua ketulan mampat disyaki ganja seberat 130 gram (g) dan 97g.

“Siasatan lanjut ke atas suspek membawa kepada penemuan satu beg berwarna hitam mengandungi 55g ganja, tiga botol alat penghisap ganja dan satu alat pengisar.

“Jumlah rampasan seberat 762 gram dengan nilai pasaran sebanyak RM22,860. Sebuah motosikal bernilai RM10,000 turut disita,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, dalam operasi berasingan pada 8 malam 5 Jun lepas, Unit Marin JKDM Cawangan Penguatkuasaan Batu Pahat menyerbu sebuah bot tidak berdaftar yang ditambat di kawasan hutan paya bakau berhampiran Terminal Feri Batu Pahat.

Aminul Izmeer berkata pemeriksaan menemui satu beg mengandungi tiga ketulan mampat ganja yang dibungkus dalam paket teh cina dan disembunyikan di bahagian hadapan bot.

“Anggaran berat rampasan adalah 3.06kg dengan nilai pasaran RM98,016, dan sebuah bot dianggarkan bernilai RM4,000 turut disita,” katanya.

Kedua-dua kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah berbahaya.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup, dan jika dipenjara seumur hidup, tertuduh hendaklah disebat tidak kurang daripada 12 kali.

-RI

Tinggalkan komen anda