Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Kubu Kuala Gel Terus Kekal Utuh

By 16 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Shafira Mat Hussin

BACHOK, 16 Jul (MalaysiaAktif) – Di sebalik deruan ombak Laut China Selatan, sebuah struktur konkrit peninggalan era pasca Perang Dunia Kedua terus berdiri megah di Kampung Kuala Gel, di sini menjadi saksi bisu kepada sejarah pertahanan British yang kini dipelihara rapi sebagai warisan tempatan.

Dikenali sebagai Kubu Kuala Gel, kubu pertahanan seluas lapan meter persegi dengan ketinggian 2.1 meter ini dibina sebagai benteng pertahanan bagi menghadapi sebarang kemungkinan serangan pada waktu darurat.

Dinding serta bumbungnya setebal 30 sentimeter jelas menunjukkan reka bentuknya direka khusus untuk menahan tembakan senjata ringan dan mortar.

Muhammad Suhaimi antara generasi muda yang masih menyaksikan tinggalan sejarah yang terjaga dengan baik di kampungnya.

Menurut penduduk tempatan, Muhammad Suhaimi Mohamed, 40, kubu ini bukan sekadar binaan lama, ia adalah khazanah sejarah yang perlu dipertahankan.

“Kalau ikut cerita arwah ayah saya, dulu ada lebih dari satu kubu di kawasan ni,” kongsinya, sambil menunjuk ke arah struktur konkrit yang kini menjadi mercu tanda kampung.

Beliau menambah, warisan penting ini dijaga rapi oleh komuniti tempatan, yang sedar akan nilai sejarahnya dalam lipatan perjuangan dan keselamatan negara.

Kubu Kuala Gel kini menjadi sebahagian daripada Dataran Kubu Kuala Gel, yang dirasmikan pada 23 Mei 2022. Inisiatif ini, yang digerakkan oleh penduduk dan pihak berkuasa tempatan, menekankan komitmen kolektif untuk memelihara warisan sejarah untuk generasi akan datang.

Wartawan Malaysia Aktif meninjau pemandangan dari dalam kubu bagi merasai sendiri pengalaman sejarah suatu ketika dahulu.

“Kami sayang tempat ni. Ini bukan sekadar sejarah kampung, ini sejarah negara,” tegas Suhaimi, melahirkan rasa kesal terhadap kubu-kubu lain yang telah musnah atau tenggelam akibat hakisan laut.

Suhaimi mencadangkan agar lokasi ini diwartakan secara rasmi sebagai tapak warisan, menjadikannya destinasi pendidikan sejarah dan pelancongan tempatan untuk generasi akan datang.

Dengan daya tahan binaannya dan semangat penduduk yang tidak pernah luntur, Kubu Kuala Gel terus menjadi saksi bisu kepada sejarah pertahanan negara dan semangat cintakan tanah air yang diwarisi hingga kini.

-RI

Tinggalkan komen anda