
Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor/Mazlin Basir
PONTIAN, 19 Jul (MalaysiaAktif) – Usaha memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap keselamatan penggunaan internet, khususnya dalam kalangan generasi muda terus dipergiat menerusi penganjuran Kempen Internet Selamat oleh Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Tanjung Piai.

Amir (berdiri) sedang memberikan taklimat mengenai penggunaan internet selamat kepada para pelajar.
Pengurusnya Amir Zaki Hamzah berkata program tersebut mendapat sambutan memberangsangkan masyarakat setempat termasuk pelajar sekolah dan belia kampung.
“Antara isu yang diketengahkan ialah bahaya penyalahgunaan media sosial, penipuan dalam talian serta kepentingan mengurus maklumat peribadi secara selamat,” katanya ketika ditemui sempena program JIWA@Komuniti MADANI (Sembang Santai) di Kompleks Penghulu Mukim Serkat, di sini hari ini.
Beliau berkata kaedah pendidikan secara langsung seumpama itu penting dalam membentuk kefahaman dan kesedaran digital sejak peringkat awal, khususnya dalam era teknologi maklumat yang berkembang pesat.

Nor Hazam (dua dari kanan) menyampaikan cenderahati kepada salah seorang peserta sambil diperhatikan oleh Amir (kiri) dan wakil Pejabat Penerangan Daerah Pontian, Mazlin Basir.
“Generasi muda merupakan golongan paling aktif menggunakan internet. Justeru, mereka perlu dididik untuk memahami batas keselamatan digital dan seterusnya menjadi pengguna yang bijak, beretika dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Katanya, kempen seumpama itu mampu membentuk komuniti celik digital yang lebih berwaspada dalam menangani cabaran keselamatan siber, seiring aspirasi negara ke arah masyarakat MADANI yang progresif dan berinformasi.
Selain ceramah berkaitan keselamatan siber, program turut diserikan dengan penyampaian naratif isu semasa serta pengedaran bahan penerbitan oleh Pejabat Penerangan Daerah Pontian.
Turut hadir Penghulu Mukim Serkat Mohd Nor Hazam Md Jaiz merangkap Ketua Komuniti MADANI Kampung Perpat Timbul.
-RI






