Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Penggunaan Media Sosial Secara Berhemah Bentuk Jaringan Positif

By 22 Julai 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Mohammad Ewandi (Perak)

RUNGKUP, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Penggunaan media sosial secara berhemah bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah mempermudah komunikasi serta memperkukuh jaringan sosial dalam kalangan masyarakat.

Menurut Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Perak Ts. Faizul Azlee Mahat bagaimanapun para pengguna perlu lebih peka terhadap risiko penggunaan media sosial secara negatif.

Kaviya Jayagandan berazam menggunakan media sosial sebagai platform menyebarkan kegembiraan dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

“Kesannya bukan sahaja boleh merenggangkan hubungan dan menimbulkan konflik, malah boleh merosakkan imej diri serta memberi kesan jangka panjang terhadap kehidupan seseorang,” katanya ketika menyampaikan taklimat bertajuk Bahaya Media Sosial di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abdul Razak (STAR), Selekoh di sini dalam Program PENTARAMA X Kelab Malaysiaku, semalam.

Beliau turut menekankan bahawa dalam alam pekerjaan, majikan lazimnya akan menyemak latar belakang calon melalui media sosial sebagai salah satu pendekatan untuk mengenali personaliti individu tersebut.

“Oleh itu, gunakanlah media sosial secara positif dan elakkan daripada menyebarkan berita palsu yang tidak diketahui kesahihannya. Orang akan menilai kita berdasarkan apa yang kita Like dan Komen di media sosial,” katanya.

Sementara itu, Pengetua STAR Nur Hafizaz Ahmad berkata program berkenaan sangat relevan dengan isu semasa yang dihadapi remaja masa kini.

Kehadiran artis PENTARAMA bukan sahaja menghiburkan malah berjaya mendidik pelajar.

“Pendekatan Jabatan Penerangan (JAPEN) melalui artis PENTARAMA bukan sahaja menghiburkan, malah berjaya mendidik pelajar tentang kepentingan penggunaan media sosial secara beretika dan berhemah,” jelasnya.

Seorang pelajar, Kaviya Jayagandan 16, berkata banyak yang dipelajarinya melalui program berkenaan, terutama berkaitan kepentingan mengelakkan komen berunsur negatif dalam media sosial.

“Media sosial sepatutnya digunakan sebagai platform untuk menyebarkan kegembiraan serta mengeratkan hubungan antara satu sama lain,” katanya.

Turut hadir Penolong Pengarah JAPEN Perak Ashman Ahmad.

-RI

Tinggalkan komen anda