
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/PUSPANITA Negeri Kedah (Kedah)
ALOR SETAR, 25 Jul (MalaysiaAktif) – Usaha memperkasa penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan terus diperkukuh menerusi penganjuran Seminar Keusahawanan PUSPANITA Negeri Kedah Darul Aman yang berlangsung di Wisma Darul Aman, di sini semalam.

Ucapan perasmian oleh Timbalan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kedah.
Seminar anjuran Biro Keusahawanan dan Kepenggunaan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Cawangan Negeri Kedah ini bertujuan membuka ruang kepada ahli-ahlinya untuk menimba ilmu dalam bidang keusahawanan, khususnya berkaitan pengurusan perniagaan serta strategi pemasaran yang efektif.
Timbalan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah Datin Nurul Aznim Mohd Razalli dalam ucapan perasmian, berkata minat golongan wanita terhadap bidang keusahawanan kini semakin tinggi.
“Kebolehupayaan puan-puan mengatur urus kerja hakiki di pejabat, menguruskan rumah tangga dan pada masa sama menceburi bidang perniagaan mencerminkan bahawa wanita masa kini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan golongan lelaki,” ujarnya ketika ucapan perasmian.

Perkongsian ilmu oleh Ain Fatin Lyana Azehar.
Menariknya, seminar kali ini menampilkan Pengasas produk 1 Minute Miracle, Ain Fatin Lyana Azehar, yang dijemput khas bagi berkongsi pengalaman jatuh bangun beliau dalam dunia perniagaan.
Perkongsian tersebut diharap dapat memberi suntikan semangat serta inspirasi kepada peserta seminar yang rata-ratanya terdiri daripada wanita yang aktif dalam pelbagai bidang kerjaya dan keusahawanan.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Biro Keusahawanan dan Kepenggunaan PUSPANITA Cawangan Negeri Kedah Norhasteza Bahdun, barisan ahli jawatankuasa biro serta ahli-ahli PUSPANITA dari seluruh negeri.
Dengan tema ‘Wanita Sepakat, Negara Meningkat’, seminar ini bukan sekadar platform perkongsian ilmu, malah menjadi medan memperkukuh jaringan kerjasama antara usahawan wanita, sekaligus menyokong agenda pemberdayaan wanita di negeri Kedah.
-RI





