Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Taman Sri Lambak Terpilih Jadi Tapak Perintis Strategi Bandar Bersih Johor 2030

By 31 Julai 2025November 4th, 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nadia Abdullah (Kluang)

KLUANG, 31 Jul (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Bandar Bersih Johor 2030 diteruskan ke Simpang Renggam sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa budaya kebersihan dan kelestarian alam sekitar negeri menjelang tahun 2030.

Ia merupakan antara inisiatif utama di bawah pelaksanaan Strategi Bandar Bersih Johor 2025–2030, yang memberi tumpuan kepada pengurusan sisa pepejal, penyertaan komuniti serta pemerkasaan kawasan bandar bersih dan selamat.

 

Yang Di Pertua MDSR, Mohd. Fa’iz Salehon dan Syahrul Nizam Salleh, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) SWcorp menyempurnakan gimik perasmian

Yang Dipertua MDSR, Mohd. Fa’iz Salehon menyifatkan pemilihan Taman Sri Lambak sebagai lokasi jelajah adalah amat bertepatan memandangkan kawasan tersebut dikenal pasti sebagai salah satu hotspot kes denggi di daerah berkenaan.

“Kami amat menghargai kerjasama erat dengan SWCorp dan agensi terlibat. Banyak bantuan telah disalurkan, termasuk dalam aspek pembinaan kesedaran dan penglibatan masyarakat.

“Insya-Allah, kita sedang merancang satu inisiatif khas iaitu Drive to Recycle Centre di kawasan kompaun, yang memberi ganjaran kepada penduduk melalui sistem mata bagi setiap bahan yang di kitar semula,” katanya ketika berucap, di sini semalam.

Sementara itu, Ahli Majlis Zon 24 Taman Sri Lambak, Sarudin Nasir berkata penganjuran program berkenaan membuktikan pendekatan bandar bersih dan sihat perlu bermula daripada komuniti setempat dan bukan hanya bergantung kepada pihak berkuasa tempatan semata-mata.

“Kita mahu wujudkan satu budaya baharu dalam komuniti iaitu budaya sayangkan kebersihan. Kebersihan bukan hanya di luar rumah, tetapi dalam cara kita urus sisa, cegah penyakit dan jaga alam sekitar secara kolektif.

“Penduduk Taman Sri Lambak sangat positif dan komited untuk menjadikan kawasan ini contoh terbaik,” katanya.

Salah satu reruai pameran yang mengangkat konsep kitar semula

Pada program berkenaan, turut diperkenalkan ialah kerjasama strategik bersama Pejabat Kesihatan Daerah melalui pemasangan sistem Automated Health Monitoring System (AHMS) di 100 buah rumah terawal, bagi memantau tahap kesihatan penduduk dan mengenal pasti potensi jangkitan demam denggi di peringkat awal.

 

Majlis turut menyaksikan penyerahan rasmi Dokumen Strategi Bandar Bersih Johor 2025–2030 oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) SWCorp, Tuan Syahrul Nizam Salleh kepada Mohd. Fa’iz, serta pelan Kerjasama Pintar Strategi Bandar Bersih Johor yang diserahkan kepada Ketua Whip MDSR, Mohd. Faizal Mohd. Said.

Program itu bukan sekadar simbolik, malah menjadi platform integrasi antara kerajaan, agensi, kepimpinan akar umbi dan rakyat demi merealisasikan matlamat Johor sebagai negeri bersih, lestari dan sejahtera menjelang 2030.

-AA-

Tinggalkan komen anda