
Laporan/foto: M Zakry Chan/Farisha Farnoh
MELAKA 16 Ogos (MalaysiaAktif) – Menyemarakkan bulan kemerdekaan, Kerajaan Negeri Melaka serta seluruh warga kerja Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) menyempurnakan Majlis Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat JKMM 2025 di Lobi Blok Bendahari, Kompleks Seri Negeri, semalam.

Ab Rauf memasang Jalur Gemilang di kenderaan.
Menurut Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, kempen ini diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan bagi menyemarakkan semangat cintakan negara.
“Melangkaui 68 tahun usia kemerdekaan, selepas menempoh 446 tahun lamanya era penjajahan, tiada sebab untuk kita tidak berasa bangga menjadi sebuah bangsa yang merdeka dengan mengibarkan Jalur Gemilang.

Kepelbagaian budaya hidup harmoni sama-sama memelihara keamanan negara.
“Saya menyeru kepada semua rakyat Melaka termasuk penjawat awam untuk sama-sama menyemarakkan semangat jiwa merdeka dengan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, premis perniagaan, mahupun pada kenderaan masing-masing,” katanya.
Menurutnya mengibarkan Jalur Gemilang adalah bukti ketaatan, kesetiaan dan kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia, sebuah bangsa yang merdeka.
“Sebagaimana orang Melaka terkenal dengan nilai budaya yang tinggi serta kerukunan hidup yang erat, sama-samalah kita memelihara keamanan, menyayangi negara, keluarga dan diri kita sendiri,” ujarnya.
-RI





