Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Bota Kiri Kini Ada ATV – Laluan Desa Hingga Sungai Perak

By 9 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aniss Rahin/Zairul Afendi (Perak Tengah)

BOTA KIRI, 9 Ogos (MalaysiaAktif) – Kampung Ekor Bota yang terkenal dengan suasana tenang, kini mendapat nafas baharu dengan kehadiran aktiviti menunggang kenderaan kenderaan serba rupa bumi (ATV) yang mula beroperasi sejak Mei lalu.

Mohamed Johari, penggerak utama aktiviti ATV di Kampung Ekor Bota.

Diuruskan anak jati kampung, Mohamed Johari Mohamed Alwi, 38, aktiviti itu menjadi tarikan baharu bukan sahaja kepada penduduk tempatan malah pengunjung luar yang mahu merasai kelainan sukan tersebut.

Menurut Mohamed Johari, tujuan memperkenalkan aktiviti ATV berkenaan adalah untuk menghidupkan sektor pelancongan desa dan membantu ekonomi komuniti setempat.

“Setiap laluan di sini ada cerita dan saya mahu pengunjung mengalaminya sendiri,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Laluan ATV yang disediakan membawa penunggang melalui denai desa menghijau, kawasan kebun dan pemandangan sawah padi sebelum tiba di tepian Sungai Perak.

Perjalanan tersebut bukan sahaja menguji kemahiran mengendalikan ATV, malah memberi peluang kepada pengunjung menikmati angin kampung yang segar, serta deruan air sungai yang menenangkan.

Beliau berkata aktiviti itu juga membuka peluang pekerjaan kepada anak muda kampung termasuk sebagai pemandu pelancong, jurulatih ATV dan penyelenggara kenderaan.

Deretan ATV menanti pengunjung yang mahu meneroka laluan desa di Kampung Ekor Bota.

“Kedatangan pelancong sangat memberi impak positif kepada peniaga kecil seperti gerai makanan dan pengusaha inap desa.

“Penduduk menyambut baik inisiatif ini dan berharap agar ia terus berkembang menjadikan Kampung Ekor Bota ini sebagai destinasi pilihan bagi pencinta alam dan aktiviti lasak di Perak Tengah,” katanya.

Lebih menarik, kewujudan Pulau Misa di tengah Sungai Perak itu yang terkenal dengan pasir putih halus dan suasana tenang di kawasan berdekatan menjadikan suasana Kampung Ekor Bota lain daripada yang lain dan sesuai untuk berkelah atau sekadar merakam gambar kenangan.

-RI

Tinggalkan komen anda