Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Hari Kebangsaan 2025: 2,000 Murid KPM Janji Persembahan Terbaik

By 28 Ogos 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 28 Ogos (MalaysiaAktif) – Seramai 2,000 murid Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia menampilkan persembahan Human Graphic dan Show Choir terbaik sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya, Ahad ini, meskipun berdepan kepenatan sepanjang sesi latihan.

Pelajar dari tingkatan satu hingga empat melibatkan 50 buah sekolah sekitar Selangor itu kekal bersemangat menjalani latihan walaupun terpaksa berhadapan terik mentari mahupun hujan.

Persembahan human graphic yang mengagumkan dijanjikan 2,000 pelajar sekolah menengah diiringi alunan koir empat buah lagu rakyat dan lagu tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” pada sambutan Hari Kebangsaan 2025, Ahad ini.

Menurut Hawa Qaizaara Darwishya Mohamad Azaha, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kertas, latihan bermula sejak Jun lalu dan menuntut ketahanan mental serta fizikal, lebih-lebih lagi apabila sesi raptai di lokasi sambutan, di sini bermula awal pagi sejak Isnin lepas.

Bagaimanapun, pelajar tingkatan dua itu tidak menganggapnya sebagai beban, sebaliknya berpendapat pengalaman menyertai acara berprestij itu sebagai sesuatu yang amat berharga.

“Ini pengalaman kali pertama saya. Saya datang bersama 40 rakan sekolah, tapi di sini saya boleh berkenalan dengan ribuan orang,” katanya.

Bagi Shivashinie Ramesh, 16, dari SMK Bandar Puncak Jalil, penyertaan kali ini cukup bermakna kerana ia adalah peluang terakhir buatnya.

“Saya kini pelajar tingkatan empat. Tahun depan tidak boleh sertai kerana syarat hanya untuk tingkatan satu hingga empat sahaja. Saya juga perlu fokus pada SPM (Sijil Pendidikan Malaysia). Jadi, saya akan all out kali ini kerana inilah cara saya tunjukkan rasa cinta kepada negara.

“Sebab itu saya mengajak orang ramai, khususnya yang berada di sekitar Putrajaya, untuk hadir melihat persembahan kami secara langsung kerana sokongan itu amat penting. Dengan dorongan semua, kami janji akan buat yang terbaik,” katanya.

Formasi human graphic yang diserikan dengan pelbagai warna oleh Murid-Murid KPM menambahkan lagi kemeriahan perbarisan kontinjen Hari Kebangsaan 2025.

Sementara itu, Mun Yi Sim dari SMK Seksyen 8 Kota Damansara berkata ada beberapa langkah tarian yang agak mencabar sehingga mendorongnya untuk berlatih sendiri di rumah.

“Meskipun jadual latihan di lapangan memenatkan, saya tetap mahu berusaha lebih supaya tidak kelihatan sambil lewa, apatah lagi apabila rakan-rakan lain turut memberi komitmen penuh,” katanya.

Selain formasi human graphic, para peserta juga akan mempersembahkan empat lagu rakyat secara koir iaitu Bapak Mek Datang, Dia Datang, Ewa Bule dan Sayang Kinabalu, selain lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025 iaitu Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.

Sambutan Hari Kebangsaan 2025 akan berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini, manakala Hari Malaysia pada 16 September akan diraikan di Pulau Pinang.

-FN-

Tinggalkan komen anda