
Laporan/foto: Amiruddin Adli/Zaharudin Ismail
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos (MalaysiaAktif) – Bukit Puteri yang sarat dengan nilai sejarah pertahanan Kuala Terengganu kembali bergema dengan semangat patriotik apabila 80 pelajar menyertai Program Kesedaran Keselamatan Sempena Bulan Keselamatan Negara di lokasi bersejarah itu, di sini semalam.

Wan Suhaini ketika menyampaikan ucapan kepada peserta
Menurut Pengarah MKN Terengganu Wan Suhaini Wan Mohamad, aspek keselamatan negara tidak wajar dibebankan hanya kepada pihak berkuasa.
“Keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama. Program ini diharap menyuburkan semangat cinta negara dan kesedaran akan pentingnya kestabilan sebagai asas kemajuan,” katanya.
Program anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu dengan kerjasama Jabatan Penerangan (JAPEN) Negeri Terengganu, Lembaga Muzium Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu itu membawa tema ‘Bukit Puteri: Sejarah Pertahanan dan Inspirasi Keselamatan’, seiring sambutan Bulan Kemerdekaan yang kian hangat.
Pelajar prauniversiti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Abdul Malek bersama guru dan petugas pelbagai agensi menyertai aktiviti seperti pengagihan dan kibaran Jalur Gemilang, nyanyian lagu patriotik serta ucapan Ambang Bulan Kebangsaan oleh Pengarah JAPEN Terengganu Sait Yaman yang menyeru generasi muda menghayati makna kemerdekaan dan perpaduan sebenar.

Pengagihan Jalur Gemilang kepada peserta program.
Pengisian turut diperkaya dengan taklimat sejarah oleh Ketua Sektor Penyelidikan dan Dokumentasi Lembaga Muzium Negeri Azuan Harun, yang membuka perspektif peserta tentang peranan strategik Bukit Puteri dalam sejarah pertahanan negeri.
Kemuncak acara menyaksikan Mini Explorace dari Dataran Shahbandar ke puncak Bukit Puteri, menguji ketangkasan fizikal dan pengetahuan sejarah peserta sambil memupuk semangat kerjasama serta jati diri kebangsaan.
Program berkenaan menjadi contoh pendekatan holistik luar bilik darjah yang menyatukan unsur keselamatan, sejarah dan nilai patriotisme dalam membentuk generasi berwawasan dan berjiwa merdeka.
-RI






