Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Dari Zoom ke Zon Kampung: RMK13 Diperjelas di NADI Sri Bakong

By 1 Ogos 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini/NADI Sri Bakong

KANGAR, 1 Ogos (MalaysiaAktif) – Beberapa Komuniti MADANI di bawah Parlimen Kangar telah menghadiri sesi taklimat mengenai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang diadakan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sri Bakong, di sini semalam.

Program anjuran Jabatan Penerangan Negeri Perlis dengan kerjasama NADI Sri Bakong itu bertujuan memberikan penjelasan secara terus kepada masyarakat luar bandar berkenaan intipati dan hala tuju RMK13.

Menurut Pengurus NADI Sri Bakong Mohd Dzahir Daunian, pihaknya sentiasa komited dalam memastikan komuniti setempat menerima maklumat terkini secara terus daripada kerajaan.

Komitmen mengetahui dasar baharu oleh Komuniti MADANI Perlis.

“Kami di NADI Sri Bakong sentiasa membuka pintu dan memberikan kerjasama agar masyarakat di sini tidak terpinggir daripada mendapatkan informasi rasmi serta perkembangan dasar-dasar kerajaan,” katanya.

Sesi taklimat berkenaan dihadiri penduduk pelbagai kaum mencerminkan semangat keterangkuman dan keharmonian komuniti setempat.

Salah seorang peserta pesara Mohamad Man, 67,  berkata pentingnya pemahaman terhadap RMK13 agar maklumat yang disampaikan tidak hanya terhenti di peringkat individu tetapi dikongsikan dengan masyarakat luas.

“Program seperti ini perlu diteruskan supaya setiap komuniti, terutamanya di kampung, mendapat maklumat yang tepat, sahih dan tidak diputar belit,” katanya.

Tambahnya, program sebegitu mampu menjadi jambatan penghubung antara rakyat dan kerajaan khususnya dalam konteks penyampaian maklumat dasar secara langsung.

Inisiatif berkenaan menyokong usaha kerajaan dalam memperkasa tahap pengetahuan masyarakat luar bandar agar mereka lebih peka terhadap perkembangan semasa dan dapat menyampaikan semula fakta serta penjelasan dengan mudah kepada orang ramai.

Sesi taklimat disampaikan pegawai dari Kementerian Ekonomi dan diakhiri dengan sesi soal jawab secara dalam talian yang memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan pemegang taruh dan mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara-perkara yang kurang jelas.

-RI

Tinggalkan komen anda