
Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak (Tuaran)
TUARAN, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Unversiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah terlibat secara langsung melaksanakan kajian impak Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2025 sebagai usaha untuk menyenaraikan festival berkenaan dalam kalendar pelancongan Malaysia.
Festival yang memasuki edisi ketiga penganjurannya itu merupakan platform untuk memperkasa warisan, mengetengahkan kekayaan budaya, adat resam, dan tradisi masyarakat Bajausama yang unik sebagai produk pelancongan Sabah yang berdaya saing.
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Sabah, Dr Spencer Hedley Mogindol berkata kajian impak tersebut dilaksanakan untuk dokumentasi pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merangkumi tiga bidang utama iaitu ekonomi, sosiobudaya dan makanan warisan.
“Kajian impak ini dijalankan kerana festival ini memerlukan input data untuk membuat perancangan dan pihak MOTAC selaku penaja mahu menilai jika festival ini mencapai objektif ataupun ada kemampuan untuk menarik lebih ramai pelawat dan mencapai objektif mempromosi komuniti Bajausama ini kepada pihak awam.

Dr Spencer Hedley Mogindol bersama pasukan penyelidik mendokumentasikan data kajian lapangan dan borang soal selidik kajian impak.
“Kalau kajian ini tidak dibuat, kita tidak ada maklumat tersebut untuk membantu pihak pengurusan ataupun jawatankuasa penganjur merancang perjalanan festival yang lebih baik pada tahun akan datang,” katanya semasa ditemui di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Kampung Lok Batik, di sini semalam.
Beliau yang juga Ketua Penyelidik berkata hasil kajian impak tersebut juga berperanan memastikan Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah disenarai sebagai salah satu acara utama dalam kalendar pelancongan Malaysia di bawah MOTAC.
“Kajian ini amat membantu kerana mesyuarat jawatankuasa induk Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sudah menyenaraikan festival ini dalam kalendar mereka dan kini tumpuan terarah kepada MOTAC sebagai pengurusan pelancongan tertinggi…itu adalah saya rasa usaha yang baik dan sudah tentu baik kepada persatuan.
“Sebagai penyelidik, kami berharap dapat memberi input iaitu data yang tepat kepada penganjur festival, MOTAC dan pihak berkepentingan lain. Kami memang berharap maklumat tersebut akan membantu dan menjadi penanda aras kepada pihak pengurusan atau penganjur,” ujarnya.

Salah seorang mahasiswa UiTM bertugas untuk mengambil visual setiap jenis masakan warisan yang dipamerkan untuk tujuan dokumentasi di sini, kelmarin.
Untuk makluman, kajian impak tersebut dijalankan selama empat hari melibatkan 21 orang mahasiswa dan lapan orang penyelidik Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan UiTM Sabah dengan sasaran 400 orang responden dalam kalangan pengunjung serta pempamer yang terlibat.
MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama kerajaan negeri turut menganjurkan Festival Citarasa Warisan@Sabah sebagai salah satu tarikan kepada pengunjung di samping pameran dan jualan produk kraftangan, pertandingan Ratu Serimpak, Bertitik, dan fotografi digital makanan.
-RJ-






