
Laporan/foto: AgKu Marzuki Bin Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 18 Ogos (MalaysiaAktif) – Keharmonian dan keselamatan rakyat berbilang kaum serta agama adalah asas kekuatan negara yang mesti dipertahankan.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.72 Merotai, Jalani Chachu, berkata masyarakat di Sabah khususnya telah lama hidup dalam suasana harmoni walaupun berbilang bangsa dan agama.
“Walaupun kita berbilang bahasa, agama dan bangsa, ada Jawa, Suluk, Tidung, Timur dan pelbagai lagi namun kita tetap boleh duduk bersama dalam satu negara yang harmoni dan selamat.

Jalani merasmikan Program Jiwa@Komuniti Madani sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Padang Taman Semarak 2C, Tawau.
“Kenapa kita boleh tidur lena di rumah? Kerana ada polis yang menjaga kita walaupun tidak kelihatan. Inilah pengorbanan yang mesti kita hargai kerana semua agensi kerajaan berganding bahu mempertahankan negara tercinta,” katanya ketika merasmikan Program Jiwa@Komuniti Madani sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Padang Taman Semarak 2C, di sini, pada Sabtu.
Beliau turut menekankan bahawa keharmonian di Sabah terserlah apabila masyarakat bebas bergaul tanpa mengira latar belakang.
“Orang Melayu boleh makan di kedai Cina, orang Cina boleh duduk di restoran Melayu. Kita boleh berbual, bergurau dan saling mengenali. Inilah yang mesti dipertahankan,” ujarnya.
Selain itu, Jalani mengingatkan masyarakat agar tidak mudah mempercayai berita palsu di media sosial yang boleh menggugat perpaduan.
“Kita terlalu cepat menilai dan menghukum, sedangkan kadangkala maklumat itu tidak sahih. Jadi jangan kongsi kalau tidak pasti.

Aktiviti senamrobik turut diadakan sempena program tersebut.
“Oleh itu, semangat kekitaan dan perpaduan mesti terus dipupuk. Kita perlu saling menjaga, termasuk prihatin terhadap jiran dan komuniti sekeliling,” jelasnya.
Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kemerdekaan, malah turut memperkukuh semangat perpaduan dan kekitaan dalam kalangan komuniti setempat.
Turut hadir, Pegawai Penerangan Daerah Tawau, Azuary Abdul Azis, Pegawai Perpaduan Daerah Tawau, Norhayati Safrie serta Pengerusi Komuniti Madani Taman Semarak, Juliana Landau.
-RJ-





