
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Penampang)
PENAMPANG, 6 Ogos (MalaysiaAktif) – Jika disingkap kisah dahulu, sambutan merdeka hanya diraikan bersama kawan-kawan di kampung, tapi hari ini perayaan patriotik itu bagi Jakerin Jinuil jauh berbeza.

Jakerin berkongsi kegembiraannya menyaksikan sambutan Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang meriah di kampung sendiri.
Warga emas berusia 71 tahun itu teruja malah bangga apabila melihat bendera Jalur Gemilang dikibarkan mengiringi konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 yang singgah di Kampung Pinapa Kondis buat pertama kali sejak beliau kecil.
Baginya, kembara itu sebagai satu penghargaan yang besar buat pejuang tanah air selain termaktub sebagai detik bersejarah bagi penduduk kampung berkenaan yang berbilang bangsa dan peringkat umur.
“Sejak dari kecil sampai sekarang, tak pernah besar ini kawasan kampung ini. Lebih kurang empat kalilah diadakan tapi hanya ‘sini-sini’ saja, tidak pernah yang besar macam ni lah.
“Yang dulu-dulu punya memang serupa juga dengan perayaan ini, tapi cuma kuranglah perasaan gembira besar kerana setakat sendiri-sendiri dan kawan-kawan biasa saja. Tapi pada hari ini memang sangat gembira,” ujarnya ketika ditemui semasa program KMJG 2025 di Dewan Raya Kampung Pinapa Kondis, di sini pada Selasa.
Menurutnya, sambutan merdeka pada zaman dahulu jauh lebih sederhana tetapi tetap menyimpan seribu makna dengan cara tersendiri.
Jakerin turut meluahkan rasa syukurnya kerana masih sihat dan dapat melihat perubahan positif dalam cara generasi muda menghargai kemerdekaan.

Auriga (kiri) yang hadir bersama cikgunya, Mohd Asrul Affandy dan rakan sekolahnya meluahkan rasa teruja apabila konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang tiba di kampungnya.
“Saya lahir pada 1954, jadi saya harus gembira kerana masih sihat dan masih dapat lihat anak-anak muda meraikan hari merdeka dan cara generasi muda ini menghargai kemerdekaan.
“Saya harap saya masih ada umur yang panjang dan melihat supaya anak-anak generasi yang baru ini sentiasa mengingati sejarah yang lama sebagai pedoman untuk membina masa depan yang lebih baik dan menjaga keamanan yang kita kecapi hari ini,” katanya.
Selain Jakerin, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Sugud, Auriga Arabella Adrian, 11, yang hadir bersama guru dan rakan-rakannya tidak mampu menyembunyikan rasa gembir dengan ketibaan konvoi KMJG.
“Saya rasa teruja dan gembira apabila saya nampak konvoi datang ke sini. Saya harap program macam ni diadakan setiap tahun sebab seronok dapat sambut Hari Merdeka ramai-ramai dengan kawan-kawan,” ujarnya.

Ewon ketika merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 peringkat daerah Penampang.
Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 peringkat daerah Penampang itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan berlangsung dalam suasana penuh patriotik dihadiri penduduk pelbagai lapisan bangsa dan agama.
Untuk makluman, Penampang merupakan laluan pertama Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung mulai 5 hingga 23 Ogos, merentasi lebih 2,500 kilometer dan dijadualkan berakhir di Kota Kinabalu.
-RJ-






