
Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Selangor)
HULU SELANGOR, 11 Ogos (MalaysiaAktif) – Kompleks ternakan tenusu moden berskala besar Ehsan Dairy Farm yang dijangka mula beroperasi awal tahun hadapan di Sungai Tengi Selatan merupakan pencapaian penting dalam sektor agromakanan negara.
Projek strategik ini diusahakan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap import produk tenusu yang kini mencecah nilai RM4.6 bilion setahun.

Dr. Zahid Hamidi (tengah) dan Amirudin Shari (tiga dari kanan) merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Lembu Tenusu PKPS Ehsan Dairy Farm di Ladang PKPS Sungai Tengi Selatan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan penubuhan ladang ini sebagai langkah proaktif dan berimpak tinggi dalam memperkukuh keselamatan makanan negara.
“Kompleks ternakan Tenusu PKPS ini bakal menjadi pemangkin kepada pengeluaran tenusu domestik yang lebih mampan dan berdaya saing,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Lembu Tenusu PKPS Ehsan Dairy Farm, di sini semalam.
Ehsan Dairy Farm turut dilengkapi kemudahan moden yang menyokong operasi penternakan secara sistematik dan berskala besar termasuk menggunakan sistem Swing Over Rapid Exit yang berkeupayaan memerah susu 60 ekor lembu secara serentak, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi.
Ia juga bakal dilengkapi dengan teknologi terkini jenama Dairymaster iaitu Neck Collar (Moomonitor) yang berfungsi mengenal pasti lembu yang berada dalam fasa berahi secara automatik dan tepat, satu inovasi penting dalam pengurusan pembiakan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Datuk Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi, kompleks seluas 42 ekar itu dijangka beroperasi awal tahun hadapan mampu menghasilkan sehingga 1.8 juta liter susu segar setahun.

Mohamad Khairil menerangkan mengenai Kompleks Lembu Tenusu PKPS kepada Dr. Zahid Hamidi dan Amirudin Shari semasa sesi lawatan ke Kompleks Lembu Tenusu PKPS Ehsan Dairy Farm di Ladang PKPS Sungai Tengi Selatan.
“Ehsan Dairy Farm akan menempatkan lebih 1,200 ekor lembu tenusu baka berkualiti tinggi iaitu Jersey-Holstein Friesian (F2) dari Australia turut dijangka menjana pendapatan tahunan melebihi RM7.5 juta serta menyediakan lebih 100 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung.
“Dengan kerjasama erat antara kerajaan Selangor, Persekutuan dan agensi pelaksana seperti PKPS, Ehsan Dairy Farm dijangka menjadi model ladang tenusu moden utama negara,” katanya.
Ehsan Dairy Farm turut dikategorikan sebagai inisiatif strategik nasional sejajar dengan dasar Kerajaan Persekutuan untuk memodenkan sektor agromakanan dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan makanan domestik.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
-RI





