
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Tuaran)
TUARAN, 11 Ogos (Malaysiaaktif) – Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2025 dilihat mampu diangkat sebagai medan gastronomi (bidang atau ilmu yang berkaitan dengan seni, budaya, dan sains penyediaan serta penikmatan makanan) untuk mempromosi makanan tradisional etnik tersebut kepada pelancong.
Sudut pameran makanan warisan Bajausama di festival tersebut yang berlangsung Sabtu lepas memberi ruang kepada pengusaha kuih tradisional tempatan membuat demonstrasi masakan secara langsung sekali gus memberi pengalaman unik kepada pengunjung.

Omaiselamah menunjukkan kemahirannya memasak kuih jala kepada pengunjung pameran, kelmarin.
Antara pengusahanya Omaiselamah Mahamood, 43, berkata, beliau mula bergiat aktif dalam menghasilkan kuih jala secara tradisional sejak sepuluh tahun lalu dan kini ia menjadi perniagaan tetap buatnya menyara keluarga.
“Pada mulanya saya cuma minat, jadi saya belajar sedikit demi sedikit daripada makcik-makcik di kampung. Lepas itu, saya banyak membuat latihan, sampai rasa yakin untuk ambil tempahan dan kini hampir 10 tahun bergiat, Kalau orang tempah baru saya buat. Alhamdulillah, tempahan tak pernah putus.
“Selain kuih jala, saya turut menghasilkan kuih tradisonal yang lain seperti rempeyek, sapit, meruku yang sering menjadi pilihan untuk majlis kahwin, kenduri dan pelbagai acara kampung,” katanya ketika ditemui semasa festival tersebut di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Kampung Lok Batik, di sini.
Bagi Omaiselamah, selain membudayakan kelestarian makanan warisan, festival sebegitu penting untuk memastikan generasi muda terus didedahkan dengan keunikan yang ada pada etnik Bajausama agar tidak hilang ditelan zaman.

Antara kuih tradisi dihasilkan Omaiselamah seperti rempeyek, cacap dan kuih sepit.
“Anak muda kini lebih cenderung kepada kuih moden berbanding kuih tradisional. Jika tidak dipromosikan, warisan ini mungkin hilang ditelan masa. Saya berharap pihak sekolah atau agensi berkaitan dapat menganjurkan kursus bagi menarik minat generasi muda mempelajarinya.
“Selagi ada permintaan dan peluang, kuih jala Bajau ini akan saya terus jadikan sebahagian daripada warisan yang dibawa turun-temurun bukan sekadar untuk dimakan, tetapi untuk diingati,” ujarnya.
Festival tersebut yang berakhir semalam menjadi salah satu festival kebudayaan di Sabah yang mempromosi gaya hidup, makanan, sukan rakyat dan keunikan kebudayaan etnik Bajausama ke tahap yang lebih tinggi.
-RJ-





