
Laporan/foto: Nur Shafira Mat Hussin
BACHOK, 22 Ogos (MalaysiaAktif) – Penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan (HPPNK) 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Pantai Irama, di sini sekali lagi menjadi tumpuan utama apabila lebih 200 ekor lembu hibrid atau lembu sado dipamerkan, selain ratusan haiwan ternakan lain.

Sekitar kemeriahan Majlis Perasmian HPPNK 2025 Peringkat Negeri Kelantan.
Acara dwitahunan yang dinanti-nantikan komuniti peladang, penternak dan nelayan itu berjaya menghimpunkan hampir 300 ekor haiwan ternakan termasuk kambing dan biri-biri untuk pertandingan serta pameran.
Lebih 100 pempamer daripada pelbagai jabatan kerajaan, agensi dan syarikat swasta dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan turut membuka reruai bagi menawarkan khidmat konsultasi, perkongsian ilmu serta jualan produk.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dalam ucapan perasmiannya berkata sektor pertanian terus menjadi penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negeri dengan sumbangan lebih 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Menteri Besar Kelantan menyampaikan Anugerah Kecemerlangan kepada penternak, petani serta usahawan.
Katanya, penganjuran HPPNK memberi ruang kepada rakyat mendapatkan pendedahan ilmu, perkongsian pengalaman serta penemuan baharu dari segi kaedah dan teknik.
“Kelantan telah sekian lama bertekad menjadi jelapang makanan negara dengan sentiasa menggalakkan penyertaan golongan muda melalui pendedahan menerusi TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).
“Kita juga sentiasa peka menggerakkan pelbagai inisiatif, program dan projek yang memberi fokus kepada sumber, bekalan dan keterjaminan makanan dalam negeri dan negara,” katanya.
HPPNK 2025 yang berlangsung dari 20 hingga 24 Ogos ini membawa tema Usaha Tani Sumber Kehidupan Pertiwi, sebagai isyarat jelas terhadap iltizam negara memastikan bekalan makanan mencukupi untuk keperluan rakyat.
-RI





