
Laporan/foto: Amiruddin Adli/Zaharudin Ismail (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos (MalaysiaAktif) – Stesen Bas Kuala Terengganu, di sini bergema dengan semangat patriotisme apabila komuniti pemandu teksi dan bas mengibarkan Jalur Gemilang dalam Program Kibar Jalur Gemilang Sembang Santai Gong Gemia.

Sait Yaman, menyampaikan Jalur Gemilang kepada pemandu bas sebagai simbol semarak patriotisme sempena Program Kibar Jalur Gemilang Sembang Santai Gong Gemia di Stesen Bas Kuala Terengganu.
Program anjuran Pejabat Penerangan Kuala Terengganu itu menyaksikan warga pengangkutan awam menerima Jalur Gemilang untuk dipasang di kenderaan masing-masing sebagai tanda cinta serta penghargaan terhadap tanah air.
Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Terengganu Sait Yaman berkata pengibaran bendera bukan sahaja simbolik sambutan kemerdekaan, malah mencerminkan perpaduan, semangat juang dan rasa syukur seluruh rakyat.

Sait Yaman turut memasang Jalur Gemilang pada teksi sebagai tanda sokongan komuniti pemandu awam terhadap sambutan Bulan Kebangsaan.
“Pemandu teksi dan bas ini saya anggap sebagai duta kecil negara kerana mereka berhubung langsung dengan masyarakat serta pelancong.
“Mereka berperanan besar menyampaikan mesej cintakan tanah air melalui penghayatan patriotisme,” katanya, di sini kelmarin.
Program itu turut mendapat sokongan Timbalan Ketua Komuniti MADANI Gong Gemia Nik Zainal Nik Mohamad serta Setiausaha Persatuan Teksi Kuala Terengganu Azman Sulaiman yang bersama-sama menggerakkan semangat kemerdekaan dalam kalangan komuniti pemandu.
-RI





