
Laporan/foto: Norfaizah Adnan
KUALA LUMPUR, 14 Sep (MalaysiaAktif) – Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan 2025 menyaksikan 10 pasukan terbaik bersaing di pentas akhir bagi merebut gelaran Juara Kebangsaan.
Pertandingan edisi ke-18 itu telah menghimpunkan 80 buah sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dari seluruh negara dengan penglibatan seramai 800 pelajar.
Acara berprestij anjuran Persatuan Seni Pentas India Kuala Lumpur dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta kerjasama strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan DBP itu berlangsung meriah di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini semalam.
SJKT Batu Anam, Johor (Suara Hati) telah berjaya menjuarai pertandingan dengan tempat kedua dimenangi SJKT Slim River, Perak (BULI) manakala tempat ketiga milik SJKT Jalan Lobak, Negeri Sembilan (Kisah Mahsuri).

Stephen Samuel bersama ibunya A. Punitha.
Stephen Samuel Ariokiasamy, 12, yang dinobatkan sebagai pemenang Pelakon Lelaki Terbaik yang memegang watak Satish (anak lelaki mati dibuli) dari SJKT Slim River, Perak berkata kemenangan itu adalah hasil titik peluhnya menjalani latihan.
“Saya rasa gembira dan menangis sebab semua kerja keras sudah jadi kemenangan. Antara perjuangan dan kesusahan semasa latihan ini ialah membuat ekspresi muka,” katanya yang membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM200.
Ibunya yang berkhidmat sebagai guru di sekolah tersebut A. Punitha Grace Mary, 48, berterima kasih kepada pihak sekolah terutama guru besar atas peluang yang diberikan kepada anaknya dalam lakonan teater Bahasa Melayu itu.
“Walaupun Bahasa Melayu ini bahasa kedua kepada kami, saya dapati memang usaha semua guru-guru, usaha pihak sekolah memartabatkan Bahasa Melayu. Mereka mengambil satu peluang yang amat mencabar di dalam Bahasa Melayu sehingga sebagai impaknya telah membuahkan hasil yang memang tidak diduga oleh kami dan saya sangat gembira.
“Sebagai guru, harapan saya kepada ibu bapa adalah untuk tampil ke depan memberi sokongan kepada anak-anak, sokongan kepada sekolah untuk menjayakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan negara Malaysia. Jangan takut jangan risau, kita boleh,” katanya.
Pemenang kategori Pengarah Terbaik, Karthik Selva Kumaran dari SJKT Batu Anam, Johor berkata proses melatih murid untuk pementasan mengambil masa antara tiga hingga empat bulan kerana skrip drama perlu melalui verifikasi dari segi jalan cerita dan bahasa sebelum diserahkan kepada murid dan selepas itu barulah proses penghafalan dijalankan.

SJKT Batu Anam, Johor, Juara Pertandingan Teater Bahasa Melayu Sekolah Tamil Peringkat Kebangsaan 2025.
“Rakan cikgu yang lain pun turut membantu, walaupun ada kekangan kita dah berjaya dapat tempat pertama, syukur kepada tuhan dan kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada murid-murid sebab mereka menjiwai dan menunjukkan lakonan yang baik.
“Itulah hasil yang kita dapat, tempat pertama dan kita gembira dan tidak terkata,” katanya.
Syarat pertandingan yang mewajibkan persembahan dijalankan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu bertujuan memupuk penguasaan Bahasa Kebangsaan dalam kalangan pelajar SJKT selain mengangkat seni teater sebagai wadah pendidikan dan penghayatan budaya.
Menurut pihak penganjur, pertandingan itu bukan sekadar mengasah bakat pelajar dalam seni persembahan, malah menjadi ruang menonjolkan kreativiti, imaginasi serta kepekaan terhadap isu masyarakat.
Turut hadir Menteri Digital Gobind Singh Deo Karpal Singh dan Ketua Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris.
-RI





