
Laporan/foto: Ali Imran/Amirul Amran (Kemaman)
KEMAMAN, 3 Sep (MalaysiaAktif) – Kawasan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Binjai bertukar wajah meriah apabila sebanyak 500 Jalur Gemilang dan bendera negeri berkibar megah di sepanjang jalan dan lorong sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

KRT Rumah Murah Binjai yang dimeriahi dengan pemasangan Jalur Gemilang.
Inisiatif yang digerakkan oleh komuniti setempat ini bukan sekadar menghiasi persekitaran, malah menjadi simbol kesepakatan dan semangat cinta negara dalam kalangan penduduk.
Suasana gotong-royong memasang bendera, di sini kelmarin turut mengeratkan hubungan kejiranan, menyemarakkan lagi nilai patriotisme di perumahan tersebut.
Menurut Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Rumah Murah Binjai Mohd Shahrir Abdul Rahman, tradisi mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan itu telah lama menjadi amalan tahunan yang tidak pernah terhenti.

Sebahagian daripada Jalur Gemilang yang dipasang di KRT Rumah Murah Binjai, Kemaman.
“Walaupun tahun ini tiada pertandingan menghias dianjurkan, semangat kami tidak pernah luntur. Kami tetap teruskan kerana ini bukti cinta kepada negara,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Jalur Gemilang bukan sekadar hiasan, tetapi lambang kedaulatan negara yang wajar dihormati. Anak-anak muda juga sentiasa dipupuk untuk menjaga bendera dengan baik, termasuk mengutip dan memasangnya semula jika ada yang tercabut atau jatuh.
Usaha murni penduduk RAKR Binjai ini jelas mencerminkan bahawa patriotisme boleh disemai melalui perpaduan komuniti, sekali gus menjadi inspirasi kepada kawasan lain untuk turut bersama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kesetiaan kepada tanah air tercinta.
-RI





