
Laporan/foto: Sumardi Sugiman/Jackson Abell (Sarawak)
BAU, 3 Sep (MalaysiaAktif) – Selain media sosial, Slot Khas Komuniti MADANI X NADI Tanjong Bowang menjadi platform penting Pejabat Penerangan Daerah Bau memperkasakan Komuniti MADANI Kampung Daun, Singai melalui perkongsian maklumat panduan kibar Jalur Gemilang dan mesej hentikan buli siber yang dilaksanakan di NADI tersebut di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Ketua Komuniti MADANI Kampung Daun Roystein Giles, 40, berkata panduan kibar Jalur Gemilang penting dan bertujuan untuk memberi kefahaman kepada komuniti mengenai cara pengibaran dan penggunaan bendera mengikut tatacara yang sewajarnya.

Roystein menekankan perlunya ahli Komuniti MADANI Kampung Daun mengetahui panduan kibar Jalur Gemilang dan hentikan buli siber.
“Panduan asas wajar diketahui terutamanya penggunaan yang salah seperti bendera bertindih dengan teks, bendera dalam bentuk yang mengubah rupa fizikalnya, bendera dilukis atau dibalut pada objek dan bendera dalam bentuk yang mengubah rupa fizikalnya bagi tujuan fesyen atau peragaaan,” katanya lagi.
Roystein turut mengingatkan ahli komuniti supaya mempunyai pengetahuan luas berkaitan isu dan kempen hentikan buli siber.
“Saya menyeru setiap ahli Komuniti MADANI Kampung Daun terutamanya yang membabitkan ibu bapa dan penjaga jangan pernah berhenti berpesan kepada anak-anak agar mereka menggunakan internet untuk perkara yang berfaedah dan hanya melayari internet dengan pengawasan orang tua dan guru.
“Ingatkan anak-anak kita jangan klik pautan yang diragui, jangan mudah percaya dengan orang yang baharu dikenali di internet, sentiasa amalkan nilai murni dalam pergaulan kerana ini penting agar mereka tidak menjadi mangsa buli dalam internet,” kata Roystein lagi.

Stephanie memberi penjelasan kepada ahli Komuniti MADANI Kampung Daun cara mempromosi produk melalui Tiktok.
Terdahulu Pengurus NADI Tanjong Bowang Stephanie Marsella Noyes, 29, dalam ceramahnya menerangkan topik mengenai promosi produk melalui aplikasi media sosial Tiktok.
“Sekarang ini ramai orang mempromosikan produk mereka melalui aplikasi media sosial Tiktok dan kita berharap melalui proses pembelajaran ini dapat menggalakkan komuniti setempat menggunakan aplikasi tersebut untuk mempromosi produk jualan mereka,” ujar Stephanie.
-RJ-





