Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Keris Sakti Semarakkan Borneo Games 2025 dengan Koleksi Cenderamata Eksklusif

By 25 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Mohamad Farid Izwan/Wirwan Nor Rama (Sarawak)

KUCHING, 25 Sep (MalaysiaAktif) – Setelah lebih sedekad menyepi, Borneo Games kembali bergema di Kuching bermula 24 hingga 28 September ini, menghimpunkan atlet dari Sabah, Sarawak, Labuan, Brunei dan Kalimantan Timur dalam semangat persaingan serta kebersamaan serantau.

Windbreaker (kombinasi beberapa jenis warna) antara produk rasmi Keris Sakti untuk Borneo Games 2025.

Edisi 2025 ini bukan sekadar gelanggang sukan, tetapi lambang kebangkitan semula semangat kesukanan Borneo selepas penganjuran terakhir di Labuan pada 2013, sekali gus menjadi wadah untuk mencungkil bakat baharu, memperkukuh persahabatan dan meraikan kepelbagaian budaya rantau ini.

Menyemarakkan suasana, syarikat tempatan Keris Sakti tampil dengan koleksi cenderamata eksklusif yang diinspirasikan oleh semangat kesukanan dan identiti Borneo, di mana setiap rekaan moden diserikan dengan unsur seni tempatan, menjadikannya bukan sahaja tanda kenangan tetapi juga lambang kebanggaan Sarawak sebagai tuan rumah.

Izwa, Pencipta Kandungan dan Hos Siaran Langsung media sosial Keris Sakti.

Menurut Izwa, 24 ketika ditemui di sini, semalam, keistimewaan koleksi kali ini terletak pada pemilihannya oleh Kerajaan Sarawak sendiri, yang memastikan setiap rekaan bukan sekadar cenderamata biasa, tetapi produk eksklusif dengan nilai identiti serantau.

“Rekaan dan corak pada produk kami tidak sekadar memaparkan keindahan Sarawak, malah menyulam identiti dan monumen ikonik dari seluruh Borneo dan melalui sentuhan ini, setiap cenderamata Keris Sakti menjadi simbol kesatuan yang merentasi rantau dan mengabadikan temasya bersejarah ini,” katanya.

Beliau turut menambah, apa yang penting setiap pengunjung membawa pulang cenderamata Keris Sakti merasai pengalaman istimewa, bukan sekadar kenangan, tetapi juga cerita indah mengenai Sarawak dan hasil kreativiti anak tempatan yang mampu berdiri setanding dengan syarikat antarabangsa.

Cenderamata Borneo Games 2025, boleh dibeli pengunjung dengan tawaran harga menarik.

Keris Sakti, sebagai rakan rasmi pengeluaran dan penjualan cenderamata eksklusif, bukan sahaja menyerikan temasya, malah turut membuktikan kemampuan bakat tempatan dalam mengangkat nama Sarawak di pentas serantau.

Melalui gabungan keindahan budaya, semangat kesukanan dan kreativiti anak tempatan, Borneo Games 2025 pastinya meninggalkan memori yang tidak ternilai buat setiap pengunjung.

-RJ-

Tinggalkan komen anda