Skip to main content
Berita TempatanSabah

Dedikasi Media Merakam Detik Bersejarah Sambutan Hari Kebangsaan Hari Sabah

By 1 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 1 Sep (MalaysiaAktif) – Di sebalik kemeriahan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025, petugas media tetap berada di barisan hadapan, merakam setiap detik bersejarah untuk dikongsi bersama rakyat.

Erdiehazzuan (berbaju merah) bersama rakan-rakan media ketika menjalankan tugasan liputan acara perbarisan.

Wartawan Sabah Media, Erdiehazzuan Ab Wahid, berpengalaman hampir 18 tahun dalam dunia kewartawanan, menegaskan media berperanan penting menyampaikan mesej patriotisme dan pengorbanan pejuang terdahulu kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

“Liputan media bukan sahaja melalui siaran langsung dan laporan berita, tetapi juga dalam bentuk penyampaian cerita yang menonjolkan nilai perpaduan serta pentingnya mempertahankan kemerdekaan,” katanya ketika di temui pada Hari Kebangsaan Hari Sabah di sini, pada Ahad.

Beliau menambah, media sosial kini menjadi platform paling pantas dan berkesan untuk menyebarkan mesej kemerdekaan, selain membolehkan kandungan patriotik dihayati dengan lebih meluas dan interaktif.

Suasana penuh semangat patriotik apabila orang ramai membanjiri kawasan sekitar Jalan Tun Fuad Stephens bagi menyaksikan perarakan semalam.

Sepanjang hampir dua dekad membuat liputan, Erdiehazzuan menyaksikan bagaimana rakyat berbilang kaum bersatu ketika meraikan sambutan Hari Kebangsaan.

“Setiap kali liputan, jelas kelihatan rakyat pelbagai bangsa duduk, berdiri dan bersorak bersama, sekali gus menonjolkan semangat perpaduan serta keharmonian di Sabah,” ujarnya.

Beliau turut berkongsi pengalaman merakam detik bersejarah sebagai arkib visual yang amat bernilai untuk generasi masa depan.

“Di sebalik kamera dan laporan berita, semangat kemerdekaan tetap kami sampaikan dengan penuh tanggungjawab demi negara tercinta,”kongsinya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda