
Laporan/ foto – Mohamad Farid Izwan (Sarawak)
KUCHING, 27 Sep (MalaysiaAktif) — Borneo Games Kuching 2025 yang sedang berlangsung di sini ketika ini bukan sahaja menjadi pentas kepada kehebatan atlet serantau malah turut membuka peluang besar kepada peniaga kecil tempatan untuk menjana pendapatan dan mempromosikan produk mereka.

Antara koleksi kraf tangan yang turut dipamerkan sepanjang Borneo Games.
Tinjauan di tapak penganjuran temasya sukan ini semalam, khususnya di Kompleks Sukan Petra Jaya, kelihatan deretan gerai peniaga kecil menambah kemeriahan suasana dengan menawarkan pelbagai pilihan jualan.
Antara yang mendapat perhatian pengunjung termasuk makanan tradisional, minuman sejuk, kraftangan dan cenderamata yang menjadi tarikan untuk dinikmati mahupun dijadikan buah tangan.

Sharifah mempamerkan koleksi rantai manik tanah liat buatan tangannya sendiri.
Sharifah Rosni, 57, pemilik Sharifah Handicraft, berkata sambutan yang diterima sepanjang penganjuran Borneo Games amat memberangsangkan dan memberi kesan positif kepada usahawan kecil sepertinya.
“Alhamdulillah, jualan sepanjang acara ini sangat baik kerana kehadiran ramai pengunjung telah membantu meningkatkan pendapatan kami dan apa lebih menggembirakan, ramai pelanggan menghargai hasil kerja tangan kerana mempunyai nilai seni dan keunikan tersendiri,” katanya.
Beliau menambah, dengan adanya penganjuran seperti Borneo Games ini, para usahawan turut berpeluang memperkenalkan hasil kraftangan Sarawak kepada lebih ramai orang.
“Ramai pengunjung, termasuk dari luar negeri singgah untuk melihat dan bertanya terus mengenai produk kami yang secara tidak langsung membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan seni tempatan ke peringkat yang lebih tinggi,” jelas Sharifah lagi.

Norasikin luahkan rasa syukur kerana jualan yang memberangsangkan.
Sementara itu, peniaga air balang, Norasikin Abas, 54, berkata gerainya mendapat sambutan mengalakkan kerana sentiasa dikunjungi pelanggan sejak bermulanya Borneo Games sehingga dirasakan temasya sukan yang sering berlangsung di Kuching sedikit sebanyak membantu ramai pihak untuk berniaga.
“Syukur alhamdulillah, setiap hari air balang cepat habis dan jualan kali ini jauh lebih baik daripada kebiasaannya dan mungkin kerana cuaca yang agak panas, ramai pengunjung memilih minuman sejuk untuk hilangkan dahaga,” ujarnya.
Beliau turut menambah bahawa program berskala besar seperti Borneo Games memberi impak amat bermakna malah merupakan peluang terbaik bagi peniaga kecil sepertinya untuk menambah pendapatan.
Selain peniaga makanan dan kraftangan, golongan usahawan muda turut tidak melepaskan peluang mempromosikan produk kreatif seperti aksesori dan hasil seni kontemporari.

Sentuhan kreatif Sharifah menyerlah dalam pembuatan rantai manik tanah liat.
Kehadiran mereka bukan sahaja menambah variasi pilihan kepada pengunjung malah menjadi platform penting untuk memperkenalkan jenama tempatan kepada pasaran yang lebih luas.
Suasana meriah yang tercipta di sekitar venue pertandingan jelas membuktikan bahawa Borneo Games yang berlangsung di Kuching bukan sekadar acara sukan, tetapi juga medan mengangkat ekonomi komuniti setempat melalui denyut nadi peniaga kecil berjuang mencari rezeki pada pesta temasya sukan kali ini.
-RJ-





