
Laporan/ foto: Mohamad Farid Izwan (Sarawak)
KUCHING, 26 Sep (MalaysiaAktif) — Di sebalik sorakan penonton dan debaran persaingan atlet di pentas Borneo Games 2025, sukarelawan RELA merupakan wira dan wirawati senyap yang menjadi tulang belakang kelancaran acara berprestij ini.
Bersandarkan semangat keikhlasan untuk bersama menyumbang, anggota RELA turut tampil sebagai barisan hadapan sukarelawan sepanjang temasya sukan yang sedang berlangsung di Kuching ketika ini.
Mereka berganding bahu memastikan kelancaran penganjuran, khususnya dalam aspek kawalan keselamatan, penyusunan lalu lintas dan membantu melancarkan pergerakan atlet serta pengunjung di venue pertandingan.
Bagi Lazrus, 45, seorang anggota RELA yang turut menyumbang tenaga dan masa demi kelancaran temasya Borneo Games 2025, pengalaman ini dianggap sebagai satu peluang bermakna untuk berbakti kepada masyarakat.
“Sebagai sukarelawan RELA, tugasan kami bukan sekadar membuat rondaan di kawasan venue sahaja tetapi juga membantu mengawal aliran trafik dan memastikan keselamatan peralatan yang digunakan sepanjang acara berlangsung dalam keadaan selamat.

Lazrus,berbangga dapat menyumbang tenaga memastikan kelancaran kawalan keselamatan, trafik dan peralatan sepanjang Borneo Games 2025 berlangsung.
“Walaupun tugas ini mencabar, saya bangga kerana dapat menyumbang tenaga bagi memastikan suasana terkawal dan selesa untuk semua pengunjung,” jelasnya.
Sementara itu, Kartini, 52, antara anggota RELA yang turut menabur bakti menyumbangkan masa dan tenaganya sepanjang penganjuran Borneo Games berkata pengalaman ini memberi satu kepuasan buat dirinya kerana dapat berbakti kepada masyarakat dan para pengunjung dari luar Sarawak.
“Tugas kami banyak tertumpu kepada rondaan di kawasan venue serta melaporkan apa-apa perkara yang berlaku untuk memastikan keadaan sentiasa terkawal dan kami bekerja mengikut syif, bermula jam 8 pagi hingga 8 malam sebelum diganti oleh anggota syif malam dari jam 8 malam hingga 8 pagi keesokkan harinya,” katanya lagi.
Beliau menambah, biarpun penat sepanjang bertugas, anggota RELA tetap meneruskan tugas membantu memastikan keselamatan para pengunjung, petugas dan atlet supaya sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Kartini, yang bertugas dari pagi hingga malam, menganggap penglibatan di Borneo Games 2025 sebagai pengalaman berharga untuk berbakti kepada masyarakat dan menyambut tetamu dengan mesra.
Suasana mesra dan semangat kerjasama jelas terpancar apabila anggota RELA bukan sahaja menjalankan tugas malah turut mesra menyambut tetamu di setiap venue pertandingan.
Hakikatnya, sepanjang Borneo Games dan pada temasya atau acara lain sebelum ini, sukarelawan adalah nadi utama yang menghidupkan Borneo Games, kejayaan penganjuran di sebalik pengorbanan masa, tenaga dan semangat ikhlas mereka.
Borneo Games 2025 yang berlangsung di Kuching bukan sahaja melakar sejarah sebagai medan persaingan atlet dari Sarawak, Sabah, Brunei dan Kalimantan Timur tetapi juga bukti bahawa semangat kesukarelawan mampu menyatukan semua pihak demi kelancaran temasya berprestij ini.
-RJ-





