Skip to main content
Berita TempatanSabah

KBS Malaysia, Angkat Potensi Sukan Pasukan Sorak Dalam Kalangan Belia Tempatan

By 27 September 2025September 29th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Dexter Cysonned (Penampang)

PUTATAN, 27 Sep (MalaysiaAktif) – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia memandang tinggi potensi sukan pemandu sorak sebagai salah satu medium pembangunan belia di samping menggalakkan gaya hidup sihat.

Farizah Bohari, ketika menghadiri Bengkel  KLAS Cheerleading 2025 di Kompleks Belia dan Sukan Putatan, semalam.

Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Farizah Bohari berkata, potensi sukan tersebut berjaya digilap melalui bengkel yang dikendalikan jurulatih bertauliah dengan penekanan terhadap kemahiran asas rutin sorakan.

Menurutnya, Bengkel Kemahiran Latihan Asas (KLAS) Cheerleading 2025 memberi tumpuan kepada kawalan pergerakan, ketahanan fizikal, koordinasi kumpulan serta aspek keselamatan ketika melaksanakan rutin.

Aktiviti latihan koordinasi kumpulan bagi memupuk semangat kerjasama berpasukan.

Cheerleading bukan sahaja menuntut kecergasan fizikal, malah turut memupuk semangat kerjasama berpasukan, disiplin dan keyakinan diri. Justeru, bengkel ini menjadi platform terbaik untuk para belia mempelajari kemahiran baharu sekali gus mengembangkan potensi mereka.

“Bengkel ini juga berfungsi sebagai medan pemilihan atlet yang bakal mewakili Sabah ke Pertandingan Cheerleading Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada November ini,” katanya ketika ditemui semasa Bengkel KLAS Cheerleading 2025@Sabah di sini, Sabtu lalu.

Fong Kuo Yoong, jurulatih bengkel yang juga anggota pasukan pemandu sorak kebangsaan berkongsi pengalaman dan teknik asas sorakan.

Sementara itu, salah seorang jurulatih, Fong Kuo Yoong, 23, yang juga anggota pasukan pemandu sorak kebangsaan, berkata penganjuran bengkel seumpama itu amat penting bagi memperluas pengenalan sukan cheerleading khususnya di Sabah.

“Saya sendiri berasal dari Sabah, namun dalam pasukan kebangsaan hanya segelintir sahaja yang mewakili negeri ini. Program seperti ini amat baik untuk menarik minat lebih ramai belia Sabah menyertai sukan cheerleading.

“Saya melihat ramai peserta yang mempunyai bakat dan berpotensi untuk digilap. Diharapkan mereka dapat memanfaatkan peluang ini dan memberikan persembahan terbaik dalam pertandingan akan datang,” ujarnya.

Barisan jurulatih daripada Persatuan CHARM yang mengendalikan sesi latihan praktikal bersama peserta.

Bengkel anjuran KBS Malaysia ini berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Putatan dengan penyertaan lebih 50 pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Kota Kinabalu.

Latihan praktikal sepanjang bengkel dikendalikan jurulatih daripada Persatuan Sorak dan Daftar Malaysia (CHARM), iaitu badan induk pemandu sorak negara.

Penganjuran bengkel ini selaras dengan komitmen KBS Malaysia untuk memperkasa program pembangunan belia yang inklusif, dinamik serta seiring dengan minat dan aspirasi generasi muda masa kini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda