
Laporan/foto: Faizzad Kamal/Ikwan Nasrin (Batang Padang)
SUNGKAI, 5 Sep (MalaysiaAktif) – Hari Ladang Daerah Batang Padang dijenamakan semula sebagai Karnival Agro Jabatan Pertanian Daerah Batang Padang 2025 yang menjadi penutup siri program tahunan Jabatan Pertanian Negeri Perak di 12 daerah sejak Mei lalu.
Menurut Pengarah Pertanian Negeri Perak Ts. Norsiyenti Othman, Ladang EGI Green dipilih sebagai lokasi penutup amat bertepatan kerana merupakan ladang bimbingan jabatan yang berjaya.

Antara pameran yang dijalankan sepanjang Karnival Agro pejabat Pertanian Daerah Batang Padang.
“Karnival ini bukan sekadar ruang pameran, malah menjadi platform kepada warga tani untuk berkongsi ilmu, menjalin kerjasama dan membuka pasaran baharu,” katanya.
Program ini menampilkan pameran daripada 15 agensi dan rakan strategik termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahan Getah (RISDA), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Agrobank, LPNM dan Tabung Haji.
Turut diselitkan pertandingan masakan berasaskan labu manis, promosi produk tempatan seperti sengkuang calit dan pengat keledek, serta penyerahan cek cura kepada 10 wakil penerima program bantuan pembangunan.
Tambah Norsiyenti, prestasi pengeluaran hasil pertanian negeri menunjukkan peningkatan memberangsangkan pada tahun 2024 dengan buah-buahan naik 4.2 peratus dan sayuran meningkat 7.6 peratus.
“Mukim Sungkai khususnya menjadi penyumbang utama melalui projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang kini diangkat sebagai salah satu inisiatif di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030,” ujarnya ketika ditemui, di sini semalam.

Demonstrasi masakan berasaskan labu dari Penolong Pegawai Pertanian.
“Bagi tahun 2025, sejumlah RM2.1 juta diperuntukkan kepada 105 penerima di seluruh negeri, termasuk RM625 ribu kepada Projek Pembangunan Tanah Berpotensi (Agro Defence) yang dilaksanakan oleh EGI Green Sdn. Bhd. dengan keluasan projek 12 hektar membabitkan tanaman labu manis, kopi, bendi, bawang, limau kasturi dan napier.
Majlis perasmian karnival telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak Datuk Haji Mohd Zolkafly Haji Harun.
Turut hadir Pegawai Daerah Batang Padang Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori dan Yang Dipertua Majlis Daerah Tapah Azmi Abd Aziz.
-RI





